Ramai Tak Tahu Orang Asli Di Kelantan Pergi Sekolah Naik Helikopter

Ramai Tak Tahu Orang Asli Di Kelantan Pergi Sekolah Naik Helikopter

Tinggal didalam hutan, hidup serba daif dan dipinggir jauh oleh kerajaan disebalik arus kemajuan negara; antara tanggapan masyarakat terhadap kehidupan harian masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Hakikatnya, sedar atau tidak, pelbagai agensi kerajaan bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli – 24 jam, setiap hari – tanpa mengira situasi walaupun ianya mampu membahayakan nyawa.

Sekurang-kurangnya itulah yang ditempuhi oleh Tentera Udara DiRaja Malaysa (TUDM) yang ditugaskan memberi perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman sejak 1970-an sehinggalah awal 2000 sebelum tugas berkenaan diambil alih oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bekas Pegawai Penyiasat TUDM, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Haniff menerusi catatan blognya menjelaskan, bantuan udara samaada daripada TUDM atau JBPM dikerahkan bagi tujuan kecemasan perubatan mahupun untuk membawa penduduk keluar bagi program atau sebab-sebab tertentu.

Katanya, cuaca buruk yang melanda Kelantan baru-baru ini juga menyaksikan bantuan udara diberikan kepada masyarakat Orang Asli dikawasan berkenaan, atau lebih khusus lagi di empat Pos Orang Asli: Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos Bihai.

Jelas Abdul Rahmat, seramai 242 pelajar Orang Asli terkandas berikutan jalan-jalan yang menghubungkan Gua Musang dengan empat pos berkenaan terputus, justeru JBPM menggerakkan dua buah helikopter, Agusta Westland A109E dan Agusta Westland 139, untuk menghantar pelajar-pelajar berkenaan ke sekolah.

“Walaupun cuaca tidak menentu, kedua-dua buah helikopter tersebut telah berjaya membawa keluar seramai 52 orang pelajar dari Pos Balar dan Pos Belatim ke Padang Sivik Gua Musang, manakala 44 orang pelajar dibawa keluar dari Pos Cemal ke Pos Balar pada hari pertama Ops Murni.

“Operasi itu telah bermula pada jam 10.10 pagi dan berakhir pada jam 5.10 petang akibat cuaca yang bertambah buruk,” ujarnya.

Tambah beliau, Ops Murni dilancarkan bertujuan mengangkut pelajar Orang Asli menghadiri sesi persekolahan tetapi operasi berkenaan turut diselangi penerbangan ihsan membawa Orang Asli yang mempunyai sakit kritikal ke Hospital Gua Musang.

“Ini menunjukkan kesediaan Unit Udara JBPM untuk bertukar mod operasi demi nyawa dan kesejahteraan masyarakat walaupun nyawa sendiri dipertaruhkan demi menyelamatkan orang lain”.

Unit Udara JBPM mempunyai lapan buah helikopter pelbagai jenis dimana salah satu daripadanya pernah terhempas dalam cuaca berkabus semasa membuat pengawasan udara di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang pada 16 September 2010.

“Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk masyarakat Orang Asli.

“Disebabkan ketidakpekaan ini, kerajaan sering dicemuh dan dituduh tidak mengambil berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.

“Hakikatnya, untuk pihak JBPM sahaja, sebanyak 47 penerbangan ihsan telah dibuat pada tahun 2015 untuk menerbangkan seramai 111 orang pesakit dan pengiring.  Sebahagian besar adalah dari kalangan masyarakat Orang Asli,” katanya lagi dipetik blognya, SeaDemon Says.

Sumber: Malaysian Digest