Sektor Perkhidmatan & Pertanian Kelantan Raih Manfaat Daripada ECRL

Sektor Perkhidmatan & Pertanian Kelantan Raih Manfaat Daripada ECRL

Sektor  perkhidmatan dan pertanian Kelantan dijangka menerima manfaat daripada Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Penganalisis MIDF Research Abdul Fadhli Zil Ikram Dzulkifly.

“Perubahan dalam pertumbuhan logistik ini akan  merangsang bekalan dan permintaan bagi sektor perkhidmatan yang menyumbang sebahagian besar daripada keluaran dalam negeri kasar dan penghasilan pertanian  Kelantan,” katanya.

Penerima manfaat utama  dalam kes ini ialah Pusat Bekalan Tok Bali dan syarikat-syarikat yang beroperasi di situ dan di Kawasan  Pembangunan Bersama Thai-Malaysia, katanya kepada Bernama.

Pelancaran ECRL: PERKASA Meroyan Tidak Bertempat, Tuduh Melulu, Hadir Pun Tidak

Pada Ogos 2017, China dan Malaysia menandatangani perjanjian bernilai RM55 bilion bagi melaksana projek mega, ECRL sepanjang 688 km, yang menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung, selain pelabuhan perkapalan utama.

ECRL  diunjur mengangkut 26 juta tan kargo setahun menjelang 2025. Angka ini dijangka meningkat kepada 40 juta tan pada 2035.

Di samping itu, kira-kira 5.07 juta penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan kereta api ini setahun menjelang 2025, dengan angka itu dijangka meningkat kepada 5.97 juta pada 2035.

Mengenai jarak jajaran ECRL, 54.9 km dibina di Kelantan, menghubungkan Tok Bali bagi perkhidmatan penumpang dan kargo, Jelawat (penumpang), Kota Bharu (penumpang) dan Wakaf Bharu (penumpang dan kargo).

Abdul Fadhli berkata masa perjalanan yang pendek bagi memasarkan produk, memberi manfaat besar kepada sektor perkhidmatan dan pertanian.

najib ecrl Pertumbuhan Sebenar Di Pantai Timur, Pembangkang Mahu Menyoal Manfaatnya?

Projek ini juga dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutama berkaitan sektor pembinaan, dengan potensi peningkatan aktiviti pembinaan menerusi ECRL selain menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Banyak yang bercakap tentang manfaat yang bakal diraih Tok. Namun, pada pendapat saya, penjajaran  keseluruhan rangkaian kereta api ini boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan pelancongan di kawasan ini,” kata Dr Shahrin Nasir, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri & Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Beliau  berkata persekitaran perniagaan juga akan berubah, dengan perubahan tumpuan terhadap pembangunan  perindustrian di Pantai Barat.

“Menerusi ECRL, kita akan dapat melihat lebih banyak pembukaan kawasan perindustrian di Pantai Timur, dan pada masa yang sama menyokong projek sedia ada di kawasan itu.

“Apabila lebih banyak kawasan perindustrian dibuka, orang akan mula bergerak dari Barat ke Pantai Timur. Contohnya  Taman  Perindustrian Gambang. Jika lebih banyak taman perindustrian boleh dibina di Terengganu dan Kelantan, ia akan menjadikan negeri-negeri berkenaan lebih makmur,” katanya.

ECRL boleh memanfaatkan industri automotif yang membangun di Pantai Timur, dengan kemudahan rel membantu mempercepat pergerakan kereta,  dan jika perlu, dieksport melalui Pelabuhan Klang.

Satu  kajian mengenai rangkaian rel yang dijalankan seawal tahun 1981, termasuk cadangan penjajaran ECRL, yang dirujuk sebagai Rangkaian Kereta Api Timur-Barat, yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang.

Projek ini merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebagai tulang belakang bagi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menerusi ECER, perancangan terperinci untuk ECRL bermula pada 2007. Namun cabaran terbesar ialah memastikan ia menjadi perkhidmatan pilihan untuk pergerakan penumpang dan kargo.

Abdul Fadhli berkata menambah jumlah  atau lalu lintas bagi pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi memaksimumkan pelaburan dalam hartanah atau projek di dalam atau bersebelahan  ECRL dan menarik pelaburan langsung asing, merupakan antara cabaran terbesar bagi projek itu.

Perniagaan kereta api perlu dipertingkat supaya mampan, sama seperti yang dilakukan oleh KTMB dengan memperkenalkan ETS dalam perkhidmatannya,  kata Shahrin.

“Menerusi perkhidmatan yang boleh dipercayai, pelanggan akan yakin untuk menggunakannya. Rel mempunyai masalah alam sekitar yang rendah, dan jika rakyat Malaysia boleh diperlihatkan kelebihannya, ECRL boleh menjadi perkhidmatan pilihan mereka,” katanya.