SPRM Kesan Ahli Politik Terima Habuan Jutaan Ringgit Projek Terowong Dasar Laut

SPRM Kesan Ahli Politik Terima Habuan Jutaan Ringgit Projek Terowong Dasar Laut

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati, beberapa ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit, dalam kajian projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Sumber berkata, beberapa individu penting yang dipercayai terbabit dalam projek itu, akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM dalam tempoh terdekat.

Syarikat Terowong Pulau Pinang Raih Untung RM61.5 juta Dari Pendapatan RM51.8 juta

“Ada ahli politik yang menerima ratusan ribu ringgit, malah ada yang disyaki mencecah jutaan ringgit disebabkan ‘jalinan kerjasama’ itu.

“Setakat ini kita sedang mengesan, bagaimana salah laku itu berlaku dan bagaimana pembayaran itu dilaksanakan.

“Namun, kita percaya, ia berkemungkinan berkaitan pemberian dua lot tanah yang bernilai tinggi, yang menjadi cara pembayaran kepada kajian projek mega itu,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan siapa ahli politik yang dipercayai terbabit menerima habuan itu tetapi tidak menolak kemungkinan mereka itu adalah individu yang berkepentingan dalam projek berkenaan.

BH semalam melaporkan, SPRM memperoleh beberapa maklumat baharu, namun tidak dapat didedahkan kerana khuatir mampu menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

Kerajaan DAP Pulau Pinang Bayar Kos Perundingan 400% Lebih Dari Kadar Diwartakan

Sebelum ini, BH melaporkan, seorang pakar mendedahkan kos kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang itu dipercayai bernilai RM70 juta hingga RM80 juta, berbanding RM305 juta yang dibayar melalui pertukaran tanah di negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber itu berkata, SPRM kini dalam proses untuk merekod keterangan beberapa saksi penting untuk mengukuhkan siasatan.

Katanya, beberapa individu penting yang dipercayai terbabit dalam projek itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM dalam tempoh terdekat.

“Saksi yang akan direkod ini mampu menjawab bagaimana salah laku dan pembayaran itu berlaku,” katanya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang Perlu Jelaskan Lebihan Bayaran Yuran Rundingan RM136.4 Juta

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, enggan mengulas lanjut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini SPRM sudah pergi sekurang-kurangnya 42 lokasi, membabitkan syarikat perunding dan agensi kerajaan di Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Malah, katanya, lebih 76 saksi sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM yang dijalankan terhadap projek berkenaan.

Setakat ini, hanya dua individu bergelar datuk, ditahan bagi membantu siasatan itu dan masing-masing sudah dibebaskan dengan jaminan mahkamah hari ini.

Sumber: BH