zarul Terowong Dasar Laut: Eksekutif Kanan Consortium Zenith Direman 6 Hari

Terowong Dasar Laut: Eksekutif Kanan Consortium Zenith Direman 6 Hari

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap seorang pengarah eksekutif kanan syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd bergelar Datuk bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berumur 59 tahun itu bermula hari ini sehingga 15 Jan.

Keuntungan Luar Biasa Syarikat Terowong, Kerajaan DAP Pulau Pinang Masih Tidak Jawab

Terdahulu, lelaki itu tiba di mahkamah pada kira-kira 9.50 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, lelaki itu ditahan pada kira-kira 8.45 malam semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan berhubung kes itu.

Penahanan lelaki itu adalah susulan serbuan SPRM semalam di beberapa pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang dan beberapa syarikat berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut tersebut.