"Wartawan Tak Payah Tahu", Mahathir Elak Soalan PKR Tak Setuju Calon PM Pakatan

“Wartawan Tak Payah Tahu”, Mahathir Elak Soalan PKR Tak Setuju Calon PM Pakatan

“Ini semua perkara dalaman. Tak payahlah press (wartawan) tahu,” kata Dr Mahathir menjawab pertanyaan wartawan apabila diajukan soalan berhubung keputusan PKR Selangor tidak bersetuju dengan pencalonannya selaku Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Ujarnya, pertemuan akan dilakukan bersama PKR Selangor bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung siapa calon Perdana Menteri yang diinginkannya.

“Kita nak runding, kita bukan nak tolak siapa-siapa. Tentu ada yang tidak setuju. Kita runding mengapa dia tak setuju, (minta pendapat) siapa calon ganti,” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan dihadiri oleh ahli Majlis Tertinggi Pakatan Harapan termasuk Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan tiga timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

Sidang media berkenaan dianjurkan antara lain bagi mempersoalkan kelewatan Pertubuhan Pendaftar (RoS) yang masih belum meluluskan permohonan Pakatan Harapan membentuk satu parti politik.

Dakwa Dr Mahathir, tempoh kini semakin suntuk berikutan tarikh akhir pilihan raya cuma tinggal 14 minggu dengan anggapan ianya akan diadakan pada Mei tahun ini.

Ketika sesi soal jawab, wartawan meminta pandangan Dr Mahathir berhubung kenyataan wartawan veteran pro-Mahathir, Datuk A Kadir Jasin kononnya wujud ‘pakatan sulit’ antara BN dan PAS di Kelantan.

Diktator & Gila Kuasa: Tun Mahathir Mudah Lupa

Dakwa A Kadir, BN dan PAS berpakat untuk memberi kemenangan mudah kepada PAS pada PRU14 depan agar parti teraju Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus memerintah Kelantan.

“PAS nak bertanding (pilihan raya), siapa calon perdana menteri dia? Dia mencalonkan (Datuk Seri) Najib atau mencalonkan saya?

“Jadi kita nak tahu. Sebab dia (PAS) boleh menang kalau orang tahu siapa calon (perdana menteri) dia,” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan, hari ini.

Dr Mahathir kemudiannya mencipta persepsi bahawa wujudnya ahli BN yang tidak percaya akan kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri.

Sumber: Malaysian Digest