Azmin Dicabar Dedah Dokumen 'Rundingan Tepi' Skandal Tanah Ijok

Azmin Dicabar Dedah Dokumen ‘Rundingan Tepi’ Skandal Tanah Ijok

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kembali bertugas hari ini dicabar agar mendedahkan segala butir dokumen ‘rundingan tepi’ dalam skandal tanah di Ijok jika benar ia bersifat menang-menang dan memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Pegawai Khas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata, tiada makna kerajaan negeri mendakwa ia perjanjian menang-menang atau guna istilah ‘syarikat berwibawa’ mahu pun ‘formula global’ tanpa disokong dengan pendedahan butir dokumen.

Ugutan Saman: Selepas Laporan SPRM, Geng Kartel Azmin Sudah Panik

“Sungguh panjang lebar (jawapan), terbelit sampai nak terkeliat tulang belakang memberi penerangan, atau lebih tepat mahu menegak benang yang basah sehingga nama Tan Sri Khalid disebut sekurang-kurangnya sebanyak 20 kali.

“Lucu kerana ia menggambarkan betapa rendahnya tahap keyakinan sendiri sehingga berhempas pulas cuba menyakinkan diri mereka dan juga rakyat bahawa mereka ‘lebih pandai’ berbanding Tan Sri Khalid.

“Malang sekali di sebalik kenyataan berjela-jela dan serangan terhadap bekas Menteri Besar, tiada satu pun fakta dapat menjelaskan isu pokok yang kita telah ketengahkan iaitu mengapa kerajaan negeri culas serta bertindak secara cuai dengan memberhenti proses mahkamah yang diambil terhadap pemaju curang meskipun Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.