scorpene Kapal Selam TLDM Kini Bertaraf Dunia

Kapal Selam TLDM Kini Bertaraf Dunia

“Dalam tempoh sembilan tahun sahaja, Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini setanding negara lain yang lebih lama memiliki angkatan kapal selam,” kata Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Malah, beliau berkata keupayaan TLDM dalam pengoperasian dan penyenggaraan kapal selam dalam tempoh dianggap singkat berjaya melenyapkan keraguan negara lain, yang lebih ke depan dalam pengurusan kapal selam, terhadap angkatan itu.

“TLDM berjaya mengurangkan kos kerajaan sebanyak 75% dalam melatih anggota kapal selam di dalam negara kita sendiri berbanding di Perancis sembilan tahun lalu.

“Selain itu, kita berjaya melaksanakan kerja penyenggaraan kapal selam, yang sebelum ini tidak diyakini oleh Perancis,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Panglima Angkatan Kapal Selam di Markas Pemerintahan Kapal Selam di sini, hari ini.

Ahmad Kamarulzaman berkata latihan kumpulan pertama Angkatan Kapal Selam dijalankan di Perancis melibatkan kos kira-kira RM4 juta untuk seorang pelatih bagi tempoh empat tahun.

Katanya, atas keprihatinan kerajaan, kos latihan dapat dikurangkan menerusi pelaburan kerajaan untuk mewujudkan markas itu yang dilengkapi peralatan dan simulator canggih di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) di sini.

“Sehingga kini, 87 pegawai dan anggota dilatih di markas itu. Saya juga amat teruja, gembira dan bangga kerana anggota kapal selam di markas ini daripada pelbagai  bangsa dan ini membuktikan TLDM tidak pernah selektif.

“Siapa sahaja rakyat Malaysia yang ada kelayakan, kita akan memberi latihan dan Alhamdulillah, mereka yang diberi peluang menjadi warga TLDM ini menunjukkan kemajuan yang tinggi,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman turut berbangga dengan kekuatan jurutera dan juruteknik dalam menyenggarakan kapal selam negara yang terdiri daripada 90% warganegara, kebanyakannya berasal dari Sabah.

Scorpene: AFP, Sumber Laporan Media Pro Pembangkang Telah Padam Artikel Mereka?

Beliau turut memberitahu TLDM merancang menambah bilangan kapal selam negara pada masa depan memandangkan PTKK mempunyai kapasiti untuk menempatkan sehingga enam kapal selam.

Pada masa ini, beliau berkata negara mempunyai dua kapal selam – KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM yang baharu Laksamana Muda Zulhelmy Ithnain akan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kecemerlangan dan meningkatkan kesiapsiagaan angkatan itu dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau merupakan kumpulan pertama anggota kapal selam negara yang dilatih di Perancis dan turut menyertai pelayaran kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman selama hampir dua bulan pada 2009 dari Toulon, Perancis ke Malaysia.

Beliau mengambil alih tugas daripada Kapten Abdullah Sani Ismail, yang memangku jawatan itu selama enam bulan.

“Walaupun memangku jawatan itu selama enam bulan, banyak pengalaman saya peroleh. Tentunya cabaran utama ialah merancang bagaimana hendak menjaga aset strategik negara yang canggih dan mahal,” kata Abdullah Sani, yang akan menjawat jawatan Pegawai Memerintah KD Lekir di Lumut mulai 12 Mac depan.

Pada majlis itu juga, lima pegawai dan empat anggota, yang lulus kursus asas kapal selam, dipakaikan lencana Kepakaran Kapal Selam oleh Ahmad Kamarulzaman.