Kenapa Serah Kembali Tanah Ijok Kepada Syarikat Didakwa 'Kroni BN'?

Kenapa Serah Kembali Tanah Ijok Kepada Syarikat Didakwa ‘Kroni BN’?

Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor menyerahkan kembali tanah di mukim Ijok yang sebelum ini dirampas daripada dua syarikat pemaju perumahan yang dilabel mereka sebagai ‘kroni BN’.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata tindakan dan dakwaan kerajaan Selangor di bawah pimpinan menteri besarnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu dilihat tidak munasabah selain cuba memutar belit isu tersebut dengan menyalahkan BN.

“Saya tidak faham dengan tindakan kerajaan negeri ini… mengapa tanah yang dirampas kerajaan Selangor pada 2009, dipulangkan semula kepada dua syarikat berkenaan sedangkan mereka mendakwa syarikat itu sebagai kroni BN.

“Kalau syarikat itu kroni BN seperti yang didakwa, mengapa menyerahkan tanah itu semula kepada dua syarikat berkenaan sebelum tanah tersebut dijual pula kepada pihak ketiga. Kenapa dibantu kroni BN ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat  agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Burong di sini, hari ini.

Azmin Dicabar Dedah Dokumen 'Rundingan Tepi' Skandal Tanah Ijok

Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor semalam yang mendakwa dua syarikat pemaju terbabit dalam isu tanah di kawasan itu iaitu syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd sebagai syarikat kroni BN.

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Tanjong Karang itu berkata isu pemulangan tanah itu turut menimbulkan pelbagai persoalan lain termasuk nilai pampasan tanah yang dibayar kepada penduduk di kawasan berkenaan.

​​​​​”Mengikut harga pasaran terkini dianggarkan tanah tersebut bernilai RM500,000 untuk satu ekar tetapi apa yang saya maklum mereka hanya menerima pampasan tunai berjumlah RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000.

“Sekiranya tanah itu boleh dijual kepada pihak ketiga mengikut harga pasaran terkini berjumlah RM1.18 bilion mengapa pampasan yang diterima penduduk masih mengikut harga lama pada tahun 2000,” katanya.

​​​​​​​Mohamed Azmin sebelum ini dilapor mengumumkan pembayaran pampasan kepada kesemua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000, melibatkan nilai keseluruhan RM421.4 juta.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil menuntut penjelasan menteri besar itu termasuk Ketua Penerangan BN Selangor Datuk Dr Mohamed Satim Diman yang mempertikaikan jumlah pampasan diberikan kerajaan negeri.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini turut mempersoalkan justifikasi Mohamed Azmin menyerahkan tanah kepada dua syarikat tersebut pada 2016, tanpa menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Ini memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan 2014 telah memihak kepada kerajaan negeri dalam kes mengambil alih semula tanah daripada kedua-dua syarikat berkenaan.