Lawan Pencinta Israel

Lawan Pencinta Israel

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kehadiran seorang diplomat dari Israel ke sebuah persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kuala Lumpur. Pihak pembangkang dengan segera telah menghentam kerajaan kerana telah membenarkan perkara tersebut berlaku seraya mengatakan bahawa kerajaan bersikap hipokrit dalam memperjuangkan hak-hak Palestin tetapi pada masa yang sama telah menjemput seorang warga Israel untuk datang ke Malaysia.

Lantas Kementerian Luar Negeri telah mengeluarkan sebuah kenyataan untuk menerangkan perkara tersebut. Di dalam kenyataan tersebut, Wisma Putra menerangkan bahawa segala jemputan ke persidangan tersebut telah dilakukan oleh pihak Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Artikel III kepada Perjanjian Negara Tuan Rumah yang telah dibuat di antara kerajaan Malaysia dengan pertubuhan tersebut.

Kenyataan ini juga menerangkan bahawa sebagai negara tuan rumah, Malaysia terpaksa menerima kehadiran delegasi dari Israel walaupun berkeras tidak mahu. Malangnya, sebagai memenuhi kehendak diplomasi pelbagai hala, ianya tidak bermakna Malaysia telah mengubah pendiriannya terhadap Israel dan Palestin.

PKR PERLUKAN PENGARAH KOMUNIKASI YANG BARU

Saudara Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi PKR telah membidas kenyataan Wisma Putra.  Di dalam laman Facebooknya, Fahmi telah mempersoalkan kuasa Jabatan Imigresen Malaysia untuk menafikan mana-mana individu yang tidak dikehendaki untuk masuk ke negara ini.

Saya berasa amat kecewa kerana sebagai seorang yang memegang jawatan penting, Fahmi tidak memahami undang-undang. David Yitzhak Roet, diplomat Israel yang telah ke mari, adalah merupakan seorang diplomat dari negara Israel yang memegang passport diplomat yang bermakna beliau adalah merupakan seorang diplomat bagi negaranya.

Ini bermakna, David Roet tidak boleh dikategorikan sebagai “pendatang yang tidak diingini” (undesirable immigrant) mengikut Seksyen 8(k) Akta Imigresen, 1959/1963. Mari kita undur beberapa tapak untuk memahami keadaan sebenar sebelum mempercayai segala kebebalan yang ditulis oleh Fahmi tadi, atau kenapa Malaysia tidak membantah, dan juga kepada persoalan mengapa Malaysia tidak batalkan sahaja persidangan tersebut.

Pertama sekali, persidangan ini dalah sebuah persidangan yang dianjurkan oleh pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perjanjian Negara Tuanrumah di antara pertubuhan tersebut dengan Malaysia telah ditandatangani pada bulan Mac 2017.

Setelah perjanjian tersebut dibuat, penganjur (UN Habitat) membuat lain-lain persiapan berhubung keperluan persidangan tersebut. Hanya pada bulan Jun 2017, UN Habitat telah menghantar surat-surat jemputan kepada Menteri Luar Negeri setiap negara ahli pertubuhan tersebut termasuk Malaysia dan Israel.

PBB ada mempunyai satu format Perjanjian Negara Tuanrumah yang seragam untuk digunakan oleh agensi-agensi di bawahnya, termasuk UN Habitat. Cuma susunan Artikel adalah terpulang kepada agensi-agensi tersebut, di antaranya menyebut:

Konvensyen Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung pada 13 Februari 1946, yang mana negara tuan rumah adalah satu pihak, hendaklah terpakai bagi Persidangan tersebut.  Terutamanya, wakil negara-negara akan menikmati keistimewaan dan kekebalan yang diberikan di bawah Artikel IV Koenvensyen tersebut.”

Dokumen di atas menerangkan dengan jelas bahawa wakil-wakil setiap negara yang menghadiri persidangan yang telah dijalankan di Kuala Lumpur, hendaklah diberikan keistimewaan dan kekebalan yang telah kita persetujui sebagai salah sebuah negara ahli PBB yang telah mengiktiraf Konvensyen tersebut.

Ianya tidak berakhir di situ:

Semua orang yang disebut di dalam artikel II (artikel III dalam perjanjian dengan Malaysia) hendaklah mempunyai hak untuk masuk dan keluar dari negara tuan rumah, dan tiada halangan dikenakan terhadap perjalanan mereka ke dan dari kawasan persidangan.”

Semua di atas adalah berkenaan dengan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik, 1961, yang dipersetujui oleh Malaysia, dan juga Akta Hubungan Konsular (Konvensyen Vienna), 1999.  David Roet adalah diplomat yang dihantar oleh negaranya. Maka, Malaysia tidak banyak pilihan kerana telah menandatangani perjanjian tuan rumah, serta perlu menghormati konvensyen Vienna.

Kalau itu sahaja yang boleh diketengahkan sebagai hujah-hujah, maka saya rasa amat elok sekali sekiranya parti tersebut menukar Pengarah Komunikasi mereka memandang Fahmi Fadzil begitu dangkal daya pemikirannya.

TIDAKKAH KERAJAAN MEMBANTAH JEMPUTAN YANG DIBUAT KEPADA ISRAEL OLEH PBB?

Ramai penyokong pembangkang serta mereka yang termakan hasutan pembangkang dalam isu ini bertanyakan tidakkah kerajaan membuat bantahan terhadap jemputan kepada Israel oleh PBB?

Saya petik laporan sebuah akhbar Israel, The Jerusalem Post, yang menyebut:

Malaysia yang ternyata anti-Israel membenarkan penyertaan Israel dengan penuh marah hanya setelah Israel mengenakan tekanan diplomatik yang hebat sehingga ke pejabat Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres.

Ini adalah kerana dengan menaja sebuah acara yang berkaitan dengan PBB, Malaysia menjadi suatu kewajiban bagi Malaysia terhadap PBB untuk membenarkan penyertaan dari semua negara.”

Jelas Malaysia telah berkeras untuk tidak membenarkan penyertaan Israel tetapi terpaksa akur dengan perjanjian yang telah dipersetujui.

Walau bagaimanapun, ianya berbeza bagi rakyat biasa Israel. Pada tahun 2015, Malaysia telah tidak membenarkan dua orang peluncur layar dari Israel untuk menyertai Kejohanan Pelayaran Belia Sedunia. Keputusan kerajaan ini telah dibantah bukan sahaja oleh Persatuan Layar Israel, malah oleh badan pelayaran dunia.

Pada tahun 2016, Malaysia telah enggan mengeluarkan visa bagi pasukan ping pong Israel untuk menyertai Kejohanan Ping Pong Sedunia yang telah diadakan di sini.

JADI, SIAPA YANG MENYOKONG ISRAEL?

Pada 25 Mac 1997, seramai 2,000 orang penunjuk perasaan telah berarak ke Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu membantah keputusan kerajaan Malaysia untuk membenarkan pasukan kriket Israel untuk menyertai Kejohanan Kriket Sedunia yang dilangsungkan di Kuala Lumpur. Pada 30 Mac tahun yang sama, seramai 2,500 orang penunjuk perasaan telah menyerbu padang kriket di mana pasukan Israel dijadualkan bermain serta membakar papan-papan tanda iklan berkenaan kejohanan tersebut.

Anwar Ibrahim yang kononnya memperjuangkan Islam ketika itu, dalam sokongan terhadap bosnya berkata, sukan dan politik tidak sepatutnya dicampur-adukkan.

Pada tahun 1993, Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin mengenai Perjanjian Oslo I.

Ianya mungkin sukar dibaca.  Jadi saya sediakan terjemahan kepada transkrip surat tersebut seperti berikut:

Yang Berhormat

Encik Yitzhak Rabin

Perdana Menteri Israel

JERUSALEM

Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas surat anda pada 17 Oktober yang memaklumkan kepada saya tentang Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama di antara Israel dan PLO.

Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan memandangnya sebagai langkah pertama ke arah merealisasikan penyelesaian menyeluruh kepada masalah Timur Tengah. Sebagai demonstrasi sokongan Malaysia terhadap pembangunan ini negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma untuk menyokong Perdamaian Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya memberikan sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin untuk membantu tugas baru mereka. Kerajaan saya juga telah menawarkan bantuan teknikal untuk Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

Sebagai perkara prinsip umum Malaysia bersedia untuk membangunkan hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Dalam pada itu, kami ingin melihat kemajuan yang ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.

Masalah di Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau tersebut dan saya berharap perjanjian yang dibuat baru-baru ini di antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang kekal di kawasan itu.

Saya menanti hubungan normal dengan Israel. 

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

Sepertimana yang terkandung di dalam dua bahagian surat tersebut, Mahathir menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan yang normal dengan Israel. Pada tahun 2014, Presiden Obama telah mengadakan hubungan normal dengan Cuba. Ini berakhir dengan penyambungan perhubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara tersebut. Mahathir telah menyatakan hasrat untuk memulakan hubungan diplomatik dengan Israel. Bahagian akhir yang digaris di bawah itu telah ditulis sendiri oleh Mahathir dengan menggunakan sebatang pen.

Berlanjutan dengan perkara tersebut, Chua Jui Meng dari PKR yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Israel boleh menjadi destinasi pelaburan Malaysia (Shanti Nair, Routledge, 1997p.252).

Hasilnya, pada tahun 1999, eksport Israel ke Malaysia berjumlah USD107 juta. Pada tahun 2000, ia adalah USD732 juta, dan USD615.5 juta pada tahun berikutnya. Pada tahun 2002, laporan Kementerian Perdagangan Israel mengenai hubungan perdagangan dengan Indonesia dan Malaysia menasihatkan warga Israel yang berminat untuk menjalankan perniagaan dengan syarikat Malaysia bahawa “tiada sebarang bangkangan untuk mengadakan perhubungan perdagangan selagi ianya dibuat secara senyap-senyap“.

Mukhriz Mahathir yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 2011 akui perhubungan perdagangan di antara Malaysia dan Israel wujud dan telah bermula pada tahun 1996 ketika bapanya menjadi Perdana Menteri.

Di akaun Twitternya pula, Mukhriz juga menyatakan bahawa “Di atas permintaan daripada pelabur asing yang besar di sini pada tahun 1996, Kabinet mengarahkan MITI untuk meluluskan import dan eksport ke Israel.

Kabinet tahun 1996 yang dimaksudkan adalah kabinet yang dipimpin bapanya, Mahathir Mohamad.  Tulis Mukhriz lagi pada tahun 2011:

Apabila kita meluluskan pelaburan langsung asing, bukanlah untuk kita mengenakan syarat bahawa mereka tidak boleh berdagang dengan Israel. Sesetengah pelaburan ini berjumlah berbilion Dollar di negeri-negeri di bawah Pembangkang.”

Ini bermakna negeri-negeri di bawah pentadbiran pihak pembangkang pada tahun 2011 telah menerima pelaburan langsung asing dari Israel. Pada tahun tersebut hanya tiga buah negeri yang berada di bawah pembangkang, iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Dan saya tak fikir Kelantan terlibat dengan dana dari Israel.

Jadi, siapakah sebenarnya pencinta Israel yang wajib kita sanggah?

Sumber: Seademon