Najib Idola Pakatan Harapan, Makan Quinoa Pun Jadi Perhatian

Najib Idola Pakatan Harapan, Makan Quinoa Pun Jadi Perhatian

Nampak gayanya apa sahaja yang diperkatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak diikut rapi oleh pembangkang. Peratusan minat mereka terhadap perdana menteri melonjak 200%. Agaknya sudah tidak ada isu yang boleh diputarbelitkan lagi, hinggakan jawapan perdana menteri tentang cara beliau mengawal pemakanan menjadi topik perbualan hangat pemimpin barisan hadapan pembangkang.

Tun Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Lim Lip Eng antara yang ‘terkesan’ apabila perdana menteri memberitahu beliau makan quinoa yang diperkenalkan oleh anaknya. Itu pun kerana quinoa kaya dengan protein dan sebagai seorang yang suka makan sama seperti rakyat Malaysia yang lain, beliau perlu mengurangkan makan nasi dan menggantikannya dengan quinoa.

Bukan itu saja, perdana menteri turut memberitahu keinginan beliau mahu mengetahui cara quinoa atau produk seperti quinoa ditanam dan dihasilkan di negara ini supaya dapat memberi pilihan yang lebih sihat kepada rakyat Malaysia.

Amat jelas, Najib bukan bercakap tentang quinoa dan dirinya semata-mata, malah perdana menteri berkongsi tentang impiannya mahu tananam yang menghasilkan bijirin sihat itu turut dapat ditanam di negara ini dan dinikmati oleh rakyat yang mahu menjalani gaya hidup sihat. Di dalam kepala perdana menteri sentiasa ada rakyat. Beliau makan quinoa dan mencari jalan bagaimana tanaman itu dapat ditanam di Malaysia supaya rakyat yang mahu gaya hidup sihat dapat sama-sama menikmatinya tentunya pada kadar yang murah kerana ditanam di sini.

Pejabat Perdana Menteri menyanggah putar belit pembangkang kerana apa yang dikatakan oleh Najib amatlah terang dan jelas iaitu tentang rutin kesihatan dan pemakanan beliau ketika ditanya mengenainya semasa siaran langsung sesi Bajet 2018 Bersama Rakyat: Kesejahteraan Isi Rumah semalam.

Pengambilan quinoa selain sebahagian dari rejim diet sihat yang diamalkan oleh beliau, ia juga adalah atas nasihat doktor.

“Kita sedia maklum YAB Perdana Menteri menghadiri banyak acara setiap minggu dan sentiasa dijamu dengan pelbagai makanan termasuk nasi dalam majlis-majlis tersebut,” kata kenyataan itu.

Betullah kenyataan tersebut kerana tidak pula perdana menteri meminta penganjur atau tuan rumah menyediakan quinoa kerana beliau tidak makan nasi.

Kalau kita lihat dalam tujuh hari seminggu, setiap hari perdana menteri mempunyai program bersama rakyat dan hampir setiap masa beliau dihidangkan dengan nasi. Jadi mengapa quinoa tiba-tiba menjadi ‘makanan ruji’ pembangkang menjelang pilihan raya umum ini? Kering idea mungkin atau sudah tidak isu lagi yang dapat digunakan untuk memburukkan Najib di mata rakyat.

Bak kata Eric See-To, Timbalan Pengarah, Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), bila bercakap mengenai gaya hidup sihat ada pemimpin yang menjadikan hobi menunggang kuda sebagai rutin tentu kosnya lebih mahal dari makan harga quinoa.

Sumber: Malaysian Digest