azmin Rupanya Dalam Diam, Stadium Shah Alam Diswastakan

Rupanya Dalam Diam, Stadium Shah Alam Diswastakan

Persoalan mengapa pasukan Selangor dinafikan daripada bermain di Stadium Shah Alam dan juga kenapa kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersikap dingin dalam menyelesaikan isu tersebut meskipun penyokong sendiri yang mendesak akhirnya membongkarkan satu kisah mengejutkan.

Rupa-rupanya dalam diam, Stadium Shah Alam yang sebelum ini diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah diserahkan kepada sebuah syarikat swasta iaitu Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn. Bhd. sejak awal tahun ini dan langkah itu dikatakan terpaksa dilakukan MBSA kerana arahan kerajaan negeri.

Tambah mengejutkan, difahamkan syarikat tersebut mendapat suntikan dana awal daripada kerajaan negeri berjumlah RM10 juta bagi tujuan membantu DEFM menguruskan kompleks stadium tersebut untuk tempoh tiga tahun pertama.

Kini apa yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa perkara itu dibuat secara diam dan tidak dihebohkan kepada orang ramai selain persoalan mengapa syarikat berkenaan perlu diberi suntikan dana RM10 juta.

Menurut sumber, pengambilalihan itu telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 1 November 2017 dan berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Januari tahun ini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung pengambilalihan stadium oleh syarikat swasta berkenaan tetapi mengesahkan memang berlaku.

“Penswastaan stadium tersebut telah berlaku awal tahun ini dan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri,” katanya.

Azmin Jangan Lari Tanggungjawab Langsai Hutang

Sebelum ini, Mohamed Azmin mengambil sikap acuh tak acuh ketika seluruh peminat The Red Giants mengharapkan kebenarannya untuk membolehkan Selangor bermain di Stadium Shah Alam yang dianggap gelanggang keramat buat skuad Merah Kuning.

Tidak cukup sekadar itu, Menteri Besar Selangor tersebut juga bertindak mengguris jutaan hati peminat Selangor apabila dalam nada sinis memberitahu pasukan Iraq tetap boleh bermain bola sepak walaupun terpaksa bermain di atas padang pasir.

Selangor kini menumpang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras untuk dijadikan sebagai gelanggang tuan rumah mereka untuk kempen Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, berkongsi dengan skuad warga kota.

Stadium Shah Alam pula menjadi gelanggang tuan rumah PKNS Selangor dan pasukan Liga Perdana, Felcra FC.