Sebulan Mahathir Bagi Makan Kuda, 3 Tahun Boleh Makan Quinoa

Sebulan Mahathir Bagi Makan Kuda, 3 Tahun Boleh Makan Quinoa

Kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung diet quinoa beliau dimanipulasi pembangkang, mendakwa Perdana Menteri tidak memahami penderitaan rakyat dengan hanya makan makanan mahal.

Tidak terkecuali membuat serangan mudah, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat sindiran “Saya makan nasi beras tempatan sahaja” memperlekeh diet Najib.

Mahathir kemudiannya memuatnaik poster di Facebook beliau dengan beserta petikan kenyataan Najib semasa Forum Bajet 2018 Bersama Rakyat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Khamis lalu.

Isu tersebut turut mendapat liputan antarabangsa berikutan pelbagai manipulasi dibuat oleh pakatan pembangkang lantas memaksa Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan memperjelaskan kedudukan sebenar.

Tulis kenyataan tersebut, Najib mengambil bijiran tersebut di atas nasihat doktor sebagai sebahagian daripada rejim diet sihat yang diamalkan beliau.

Terus diserang oleh pemimpin pembangkang dan ‘cybertroopers‘ di media sosial, Najib akhirnya membuka mulut membidas mulut tempayan yang memberikan reaksi negatif terhadap diet daripada bijian dari Amerika Selatan itu.

Najib Idola Pakatan Harapan, Makan Quinoa Pun Jadi Perhatian

“Saya sebut makan quinoa pun jadi isu. Makanan ini ubat macam kita makan madu, vitamin. Tapi nasi lemak, nasi Vanggey pun saya makan”.

Najib kemudiannya membidas pengkritiknya berhubung isu quinoa, khususnya Dr Mahathir.

“Tapi adakah Dr Mahathir fikir pasal makanan kudanya yang lebih mahal? (Beri) makan kuda lebih mahal dari (beri) makan manusia. Saya ingat sebulan (beri) makan kuda, tiga tahun (saya boleh) makan quinoa. Beri makan kuda lebih mahal dari makan quinoa. Berapa ekor dia (Dr Mahathir) ada, tanya dia.

“Lepas itu dia bercuti di Argentina pula main kuda. Apa yang mahal sangat quinoa tu, apalah nak jadi isu,” katanya dipetik Malaysia Gazette.

Isu diet quinoa Najib timbul selepas Perdana Menteri menjawab soalan moderator Fizo Omar tentang bagaimana beliau mengekalkan kesihatan disamping mengekalkan jadualnya yang sibuk.

Kata Najib, sepertimana ramai rakyat Malaysia, beliau juga gemar untuk makan tetapi ianya perlu dikawal lantas mengimbangi dietnya dengan bijirin quinoa.

“Quinoa ini berasaskan protein. Jadi ianya kurang karbohidrat, kurang kandungan gula. Ianya lebih baik berbanding nasi. Saya sedang mencari kaedah samaada kita boleh menanam quinoa di Malaysia.

“Kemudian elak daripada makanan bergoreng. Tapi saya tidaklah ikut sangat diet yang betul,” kata Najib.

Sumber: Malaysian Digest