113 Peneroka Tanah Ijok Saman Azmin & Kerajaan Negeri Selangor

113 Peneroka Tanah Ijok Saman Azmin & Kerajaan Negeri Selangor

Seramai 113 peneroka di bawah Rancangan Revolusi Hijau Peringkat II dan II di Bukit Cerakah, Kuala Selangor hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan lima yang lain atas dakwaan cuai menstrukturkan persetujuan penghakiman di Mahkamah Persekutuan membabitkan tanah di rancangan berkenaan.

Dalam tuntutan saman tersebut, kumpulan peneroka berkenaan yang diketuai Mohd Fadzil Ibrahim selaku plaintif, turut menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Menteri Besar Pemerbadanan (Menteri Besar Incorporated) (MBI), Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor, dan Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor sebagai defendan.

Saman itu difailkan menerusi Tetuan Kamarudin & Partners di Kompleks Mahkamah Shah Alam, kira-kira 10 pagi.

azmin Skandal Tanah Ijok Secara Ringkas

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif antara lain mendakwa, pada 2016 suatu Perintah Persetujuan telah direkodkan di Mahkamah Persekutuan antara Kerajaan Negeri Selangor dengan tiga syarikat pemaju, Mujur Zaman Sdn Bhd (MZSB), Liputan Canggih Sdn Bhd (LCSB), dan LBCN Development Sdn Bhd, di mana plaintif tidak bersetuju serta tidak dimaklumkan terma-terma terkandung dalam perintah persetujuan itu.

Menurut plaintif, di bawah perintah persetujuan tersebut, Mohamed Azmin dan kerajaan negeri telah membenarkan MZSB dan LCSB terus memegang tanah-tanah berjumlah kira-kira 800 hektar (2,000 ekar) yang terkandung di bawah ketiga-tiga perjanjian jual beli antara kedua-dua syarikat berkenaan dengan Paragon Pinnacle Sdn Bhd.

Melalui ketiga-tiga perjanjian jual beli bertarikh 22 Sept 2015 itu, MZSB dan LCSB telah menjual tanah Bukit Cerakah seluas kira-kira 800 hektar yang terletak di mukim Ijok tersebut kepada Paragon Pinnacle dengan harga RM943,791,639.

azmin ijok Kerajaan Selangor Tidak Boleh Runding Tepi Atau Rahsia - Khalid Ibrahim

Perintah persetujuan itu bagaimanapun tidak terikat kepada baki 400 hektar daripada keseluruhan 1,200 hektar tanah Bukit Cerakah berkenaan yang menurut plaintif, telah diberikan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) kepada plaintif bersama 987 peneroka lain, di bawah Rancangan Revolusi Hijau Bukit Cerakah Peringkat II dan III pada 1998.

Plaintif seterusnya mendakwa kerajaan negeri telah memindahkan baki tanah seluas kira-kira 400 hektar (1,000 ekar) itu tanpa balasan kepada MBI dan maklumat berkenaan tanah itu ada dalam rekod MBI serta pendaftar hakmilik negeri Selangor.

Plaintif mendakwa, tindakan Mohamed Azmin dan kerajaan negeri membenarkan kira-kira 800 hektar tanah Bukit Cerakah terus dipegang oleh MZSB dan LCSB merupakan satu pengakuan bahawa kerajaan negeri telah tersilap langkah dalam tindakan untuk mengambil alih tanah berkenaan walaupun berjaya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Plaintif juga menuntut hak ke atas baki tanah Bukit Cerakah seluas 400 hektar yang masih dalam pegangan MBI dan menegaskan tidak pernah hilang milikan ke atas 400 hektar tanah itu berikutan plaintif hanya menandatangani perjanjian pengurusan dengan MZSB dan LCSB pada tahun 2000 bagi membolehkan kedua-dua syarikat itu menguruskan pembangunan di tanah berkenaan.

Azmin Tersandung Tanah Di Ijok

Plaintif seterusnya mendakwa Mohamed Azmin bersama kerajaan negeri dan MBI telah melakukan kesalahan ‘tort misfeasance’ dengan mengambil alih tanah seluas 400 hektar berkenaan daripada keseluruhan tanah Bukit Cerakah tanpa membayar sebarang pampasan kepada plaintif hingga mengakibatkan plaintif mengalami kerugian.

Dalam perintah persetujuan dengan MZSB dan LCSB, Mohamed Azmin dan kerajaan negeri juga didakwa secara salah laku gagal memelihara kepentingan plaintif iaitu tiada langkah diambil untuk membayar faedah kelewatan menyiapkan rumah teres dua tingkat bernilai RM180,000 yang telah dijanjikan oleh kedua-dua syarikat itu kepada plaintif sebagai balasan membenarkan mereka menguruskan pembangunan tanah itu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut daripada kerajaan negeri Selangor dan MBI suatu deklarasi bahawa plaintif dan peneroka-peneroka Revolusi Hijau Bukit Cerakah Peringkat II dan III adalah berhak ke atas 400 hektar tanah Bukit Cerakah yang didaftarkan atas nama MBI selain deklarasi bahawa kerajaan negeri dan MBI memegang 400 hektar tanah berkenaan sebagai pemegang amanah kepada plaintif serta peneroka-peneroka berkenaan.

Plaintif juga menuntut suatu perintah melarang kerajaan negeri dan MBI daripada melaksanakan sebarang urusan ke atas tanah berkenaan, faedah atau ganti rugi penyerahan rumah secara lewat sebanyak RM230,000 setiap plaintif, kerajaan negeri membayar ganti rugi kepada plaintif, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh pemfailan sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kenapa Serah Kembali Tanah Ijok Kepada Syarikat Didakwa 'Kroni BN'?

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendesak Mohamed Azmin memberikan penjelasan berhubung tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri Selangor menyerahkan tanah itu kepada MZSB dan LCSB pada 2016 tanpa menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Beliau mempersoalkan justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan 2014 memihak kepada kerajaan negeri dalam kes mengambil alih semula tanah daripada dua syarikat berkenaan.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi meminta siasatan dijalankan berhubung isu tanah tersebut.

Pada 2008, kerajaan negeri Selangor yang ketika itu di bawah kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil alih semula tanah seluas kira-kira 880 hektar yang dimiliki dua syarikat berkenaan kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian.