5 Sebab Utama Selangor Dilanda Krisis Air Terburuk Dalam Sejarah

5 Sebab Utama Selangor Dilanda Krisis Air Terburuk Dalam Sejarah

Kegagalan dan kedegilan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melengkapkan baki perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, malah turut menjejaskan pembangunan baharu serta kelangsungan bekalan air di negeri itu dalam jangka masa panjang.

Penduduk Lembah Klang akan terus berdepan krisis bekalan air termasuk terputus bekalan akibat kerosakan infrastruktur seperti paip pecah atau Loji Rawatan Air (LRA) tidak dapat membekalkan kapasiti air mencukupi.

Awal hari ini, melalui akaun Twitter beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang telah memuat naik satu entri beliau menghadiri satu mesyuarat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mengenal pasti punca berlakunya apa yang dianggap sebagai krisis air terburuk dalam sejarah.

Dalam mesyuarat tersebut, mereka telah memutuskan 5 sebab utama Selangor dilanda krisis air yang menjejaskan kehidupan 2 juta penggunanya:

1. Margin simpanan air sifar

Ketika ini, margin simpanan bekalan air terawat di Selangor adalah di tahap 0%, berbanding margin simpanan yang baik antara 15% hingga 20%.

Ini menyebabkan kes gangguan bekalan air terputus terus hingga memberi kesan yang signifikan kepada kehidupan rakyat.

Menurut beberapa laporan, risiko margin simpanan bekalan air yang rendah menyebabkan lebih luas kawasan akan terjejas jika bekalan terputus berbanding dengan margin simpanan yang besar iaitu sekurang-kurangnya 15%, ia tidak memberi kesan kepada penduduk.

2. Kadar air tak berhasil tinggi (32%)

Di Malaysia, 1,3890 juta liter air setiap hari (MLD) hilang kerana kebocoran paip dan kecurian, ia merupakan 32% bekalan air yang dikelaskan sebagai kadar air tidak berhasil (NRW). Bank Dunia mensasarkan NRW di setiap negara pada kadar 25% dan ke bawah.

Kita jauh ketinggalan dan sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin. Untuk maju, kita perlu menetapkan matlamat untuk mencapai tahap negara maju seperti Singapura (5%) dan Jerman (7%).

Lebih banyak teknologi dalam pengurusan dan penggunaan sumber air diperlukan untuk menyediakan kualiti, kecekapan, perolehan, rawatan air yang lebih baik; yang boleh dicapai melalui pelbagai projek berteknologi tinggi. Sebaiknya, kita boleh bermula dengan pelaksanaan sistem pemeteran bijak yang membolehkan pengurangan kebocoran, kecekapan penggunaan, dan mewujudkan kesedaran penggunaan air di kalangan pengguna.

SPLASH: Kerajaan PKR Selangor Boleh Beli Murah, Tapi Degil Mahu Bayar Lebih 10 Kali Ganda

3. Penggunaan air yang tinggi

Masalah bekalan air di negara kita turut berpunca daripada penggunaan air per kapita di negara ini agak tinggi.

Menurut laporan Malaysia Water Industry Guide (MWIG) 2016 oleh SPAN, purata penggunaan air bagi seorang individu (penggunaan air per kapita) di negara ini adalah 234 liter sehari pada tahun 2015.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penggunaan air per kapita yang tinggi. Antaranya ialah pembekalan air yang konsisten iaitu 24 jam sehari serta harga air yang rendah menyebabkan pengguna kurang menghargai air dan tidak mengamalkan penjimatan, kitar semula air atau menggunakan sumber air alternatif, kurang kesedaran untuk menggunakan produk cekap air dan sikap pengguna yang tidak menghargai air.

4. Aduan perkhidmatan air tertinggi, namun tiada apa yang dilakukan

Laporan MWIG 2016 turut merekodkan jumlah aduan tentang perkhidmatan air di negeri Selangor  adalah yang tertinggi, iaitu 259,537 aduan. Jumlah ini merangkumi hampir 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna bekalan air bersih di negeri tersebut!

5. Gangguan bekalan air tertinggi, mengatasi negeri lain yang lebih kecil

Mendapat gelaran sebagai negeri paling maju dan paling kaya di Malaysia, Selangor bukanlah negeri menawarkan perkhidmatan infrastruktur terbaik – daripada jalan raya paling teruk sehinggalah perkhidmatan membekalkan air kepada rakyatnya.

Masalah bekalan air terjejas yang disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan kemudian disusuli dengan insiden sistem mampatan udara di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang pecah itu hanya menunjukkan terdapat banyak kelemahan dari sudut pengurusan air oleh kerajaan negeri Selangor.

Laporan MWIG 2016 mencatatkan bahawa lebih 80,000 buah isi rumah terjejas akibat gangguan bekalan air bersih di kediaman mereka, berbanding hanya 10 di Melaka.

Kerajaan negeri Selangor dan ahli politiknya telah memberikan air percuma yang mereka tidak mampu dengan mengorbankan kos penyelenggaraan, pemeliharaan dan naik taraf infrastruktur bekalan air.Mereka harus tahu bahawa air tidak boleh di gunakan untuk tujuan politik.

Rakyat semakin bijak menilai pihak mana yang tidak menjalankan tugas yang diamanahkan untuk menguruskan keperluan asas ini. Jika kerajaan negeri tidak dapat mengendalikannya, bagaimana harus kita mempercayai mereka dengan perkara-perkara lain yang melibatkan kehidupan dan kesejahteraan umum? Dan apa gunanya air percuma jika tiada air?

Sumber: Mynewshub