mahathir 70% Manifesto Pakatan Telah Dilaksanakan Kerajaan - Majlis Profesor Negara

70% Manifesto Pakatan Telah Dilaksanakan Kerajaan – Majlis Profesor Negara

Kira-kira 70% kandungan manifesto Pakatan Harapan “10 janji 100 hari” telah dan sedang dilaksanakan kerajaan sekali gus membuktikan pakatan pembangkang tidak mempunyai agenda pembangunan jelas untuk negara, kata Majlis Profesor Negara.

Para Penganalisis Tidak Percaya Janji-Janji Gila Pakatan Harapan

Timbalan Pengerusinya Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, hasil analisis dilakukan MPNPoll, sebuah entiti bebas di bawah Majlis Profesor Negara mendapati pembangunan negara tidak dilihat sebagai agenda utama yang memayungi segala usaha untuk mendirikan kerajaan alternatif.

“Sebaliknya, tumpuan manifesto ini adalah terhadap beberapa perkara terpilih yang menampakkan usaha menyaingi kerajaan sedia ada,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MPNPoll itu berkata persoalan juga timbul tentang sejauh mana “10 janji 100 hari” ini boleh dicapai kerana setiap perubahan yang ingin dilakukan dalam sistem kerajaan perlu melalui proses yang kompleks dan mengambil kira soal perundingan, akta dan melalui pelbagai tapisan.

Jelasnya, falsafah yang ditonjolkan Pakatan Harapan memperlihatkan keutamaan kepada kepentingan individu sekali gus mengatasi kepentingan dan kerasionalan negara.

Menyentuh mengenai aspek pendidikan, Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat  manifesto itu menimbulkan kembali isu lama berkaitan kebebasan pelajar berpolitik di dalam pusat pengajian yang telah pun diselesaikan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009.

“Saya tidak nampak ada keperluan untuk memasukkan hal ini dalam manifesto. Jika ada sekalipun, ia cuma dari segi teknikal,” ujarnya sinis.

Berkaitan cadangan pendidikan percuma yang terkandung dalam manifesto itu pula, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang- Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berkata ia perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi.

Jelasnya, ini kerana manifesto itu tidak memberikan penerangan yang jelas bagaimana mekanisme sistem pendidikan percuma itu akan dijalankan dan dilaksanakan.

Mahathir Akui Manifesto Pakatan Harapan Bukan Janji

Sementara itu, berkaitan cadangan menghapuskan hutang peneroka FELDA, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM)  Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata ia lebih kepada pendekatan populis selain tidak rasional.

Ini kerana, katanya, kerajaan perlu membayar kira-kira RM1 bilion hutang peneroka yang sememangnya tidak boleh dihapuskan begitu sahaja.

“Hendak popular memang senang. Siapa tidak suka hapuskan hutang tetapi dari segi audit dan pelaksanaannya bagaimana?” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Prof Dr Jamal Othman berkata, janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menonjolkan parti pembangkang memberi keutamaan kepada kepentingan individu.

Pakatan Kini Kata Tidak Akan Mansuhkan GST Jika Menang PRU14

Beliau berkata Pakatan Harapan boleh meraih banyak undi dengan menjadikan penghapusan GST sebagai janji utama mereka, namun ia boleh juga mengelirukan rakyat.

“Masyarakat perlu diberikan pendedahan dan pemahaman tentang GST dalam konteks negara. Menangani kadar inflasi dan kos sara hidup bukan melalui sistem cukai,” jelasnya.

Jamal berkata GST adalah satu sistem percukaian terbukti lebih lestari, mampan dan teguh berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam menjana pendapatan negara.

“Pada 2014, sebanyak RM17 bilion diperoleh daripada SST, iaitu 8% daripada pendapatan negara.

“Pada 2015 dan tahun seterusnya, kutipan GST yang diperoleh kerajaan adalah kira-kira RM40 bilion, iaitu 17% daripada pendapatan kerajaan,” katanya.

Jamal berkata peningkatan itu adalah kerana sistem GST adalah satu sistem cukai yang cekap dan ia mampu meningkatkan kadar kepatuhan berbanding SST.

Tegas Jamal isu GST tidak patut dieksploit parti pembangkang semata-mata untuk meraih undi.