Azmin Lebih Utamakan Mahu Bayar RM2.7 Bilion Kepada SPLASH, Bukan Selesaikan Isu Air

Azmin Lebih Utamakan Mahu Bayar RM2.7 Bilion Kepada SPLASH, Bukan Selesaikan Isu Air

Kerajaan Selangor didakwa tidak serius dalam usaha mengambil alih syarikat konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) walaupun sepatutnya sudah berbuat demikian.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sebaliknya Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi tumpuan kepada bagaimana mahu membayar lebih RM2.7 bilion kepada syarikat berkenaan dan bukannya menyelesaikan isu air di negeri itu.

Pemurahnya Azmin Ali Kepada SPLASH

Katanya, tindakan itu adalah satu kecuaian jelas oleh kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin. Kerajaan Selangor sepatutnya sudah pun mengambil alih SPLASH dan kecuaian itu memberi ruang kepada pemegang saham SPLASH untuk mengaut lebih banyak untung sehingga mereka menjadi berani sebegini.

“Seorang Menteri Besar sepatutnya berjuang untuk rakyat tetapi pergerakan mungkin terhad kerana terlalu kenyang hingga termuntah,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pada 5 November 2016, BH Online melaporkan Khalid Ibrahim menafikan Kerajaan Selangor pernah menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti yang didakwa Mohamed Azmin ketika menggulung Belanjawan 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehari sebelum itu.

Sebaliknya, beliau dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Mohamed Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion terhadap ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.

Kritik SPLASH Punca Krisis Air Selangor: Khalid Ibrahim Bidas ADUN DAP Hannah Yeoh

Sementara itu, Khalid Ibrahim turut mengulas kenyataan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh dalam sebuah portal berita, yang menyalahkan SPLASH dalam isu gangguan bekalan air yang kini menjejaskan lebih 500,000 kediaman di lima kawasan di Lembah Klang.

Katanya, beliau ingin mengingatkan Hannah Yeoh bahawa beliau pernah meminta DUN membawa isu air dan pengambilan SPLASH ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Bagaimanapun katanya, usulnya itu ditolak mentah-mentah oleh Hannah Yeoh.

“Mungkin ketika itu (Hannah) merasakan ia tidak begitu penting. Natijahnya, rakyat terpaksa menanggung seksa akibat pemimpin yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: BH