Bantah Persempadanan Semula: Publisiti Murahan DAP & Mahathir Raih Perhatian Media Asing

Bantah Persempadanan Semula: Publisiti Murahan DAP & Mahathir Raih Perhatian Media Asing

Tindak-tanduk pemimpin Pakatan Harapan membantah usul persempadanan semula kawasan pilihan raya sehingga mencetuskan kekecohan di dalam dan luar Dewan Rakyat hari ini mencerminkan sikap mereka yang sanggup mencemarkan institusi negara bagi meraih perhatian media asing.

Lebih memalukan, sebagai calon Perdana Menteri sementara pakatan diketuai DAP itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya menjaga nama baik negara dan menunjukkan imej sebagai seorang ‘negarawan’, bukannya seperti ‘terdesak’ berdemonstrasi di luar Parlimen bersama mereka yang teruk mengecamnya dulu.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, sikap pemimpin Pakatan Harapan yang sering membuat kekecohan sehingga mencemarkan nama negara merupakan satu taktik publisiti murahan bagi menarik perhatian media asing.

“Ada yang mendakwa politik ini kotor, kenapa tuduhan seperti ini dilemparkan, ini semua kerana adanya orang seperti Dr. Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan.

“Saya mahu tanya, orang seperti inikah yang anda mahu angkat sebagai Perdana Menteri? Inikah perangai orang yang bercita-cita mahu menjadi pemimpin nombor satu negara?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain Dr. Mahathir, beberapa pemimpin Pakatan Harapan turut menyertai perhimpunan tersebut termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM); Tan Sri Muhyiddin Yasin, Penasihat DAP; Lim Kit Siang, Presiden PKR; Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Kekecohan itu turut ditimbulkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang berada di dalam dewan sehingga menyebabkan wakil pembangkang yang diketuai Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) digantung daripada Parlimen selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta selepas mengingkari arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Tambah Tunku Abdul Aziz, sebagai bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir sepatutnya mengetahui kesan yang boleh berlaku kepada negara sekiranya negara luar melihat kekecohan tersebut.

“Nampak dia sangat terdesak, Dr.Mahathir sanggup melakukan apa sahaja untuk memenuhi kehendaknya.

“Walaupun polis telah mengeluarkan arahan menghalang perhimpunan ini, namun Dr. Mahathir tetap meneruskannya malah telah mengumumkan mengenai perhimpunan ini dalam sebuah program bual bicara dengan sebuah stesen televisyen luar negara,” katanya.