Bayaran RM3 juta: Azeez Rahim Beri Lim Guan Eng 4 Hari Kemuka Permohonan Maaf Terbuka

Bayaran RM3 juta: Azeez Rahim Beri Lim Guan Eng 4 Hari Kemuka Permohonan Maaf Terbuka

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diberi tempoh empat hari untuk memohon maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Setiausaha Agung DAP itu turut dituntut menarik balik semua kenyataan kenyataan fitnahnya yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Selepas Gnanaraja, Jabarullah Kadersah Menambahkan Kerisauan Lim Guan Eng

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, itu antara kandungan surat tuntutan yang sudah dihantar ke pejabat Lim Guan Eng serta rumahnya di Jalan Pinhorn di Jelutong, Pulau Pinang, petang semalam.

“Saya beri tempoh empat hari untuk Guan Eng mohon maaf secara terbuka di semua media arus perdana, menarik balik kenyataan fitnah dan berjanji untuk tidak mengulangi dakwaan sama terhadap saya.

“Saya juga menuntut Guan Eng mendedahkan sumber maklumat mengenai surat peguam yang dihantar oleh Konsortium Zenith pada 23 Februari lalu dan tersebar pada 24 Februari, sedangkan saya hanya terima surat itu pada petang 28 Februari.

“Jika semua tuntutan ini tidak dipatuhi, saya akan meneruskan tindakan saman fitnah minggu depan. Ini bukan semata-mata kerana cuba main-main dengan Azeez Rahim, tapi kerana Guan Eng turut mengaitkan UMNO dan Tabung Haji dalam isu ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

zarul jabarullah Konsortium Zenith Mohon Maaf & Tarik Balik Tuduhan Rasuah Terhadap Azeez Rahim

Semalam, Lim Guan Eng dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta oleh Konsortium Zenith untuk khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Ahad lalu, Abdul Azeez memaklumkan Konsortium Zenith menyerahkan notis menarik balik tuntutan dan meminta maaf secara terbuka kerana mengaitkannya dengan projek terbabit.

Abdul Azeez berkata, Lim Guan Eng kerap menyebutnya sebagai Ahli Parlimen UMNO Baling dan mendakwa UMNO menerima duit berkenaan, serta mempertikai kredibilitinya sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam kenyataan fitnahnya yang disiarkan di TV3, semalam.

“Malam tadi, TV3 tunjuk Guan Eng tayang wajah saya seperti saya seorang penjenayah besar minta SPRM tahan saya, dan tanya adakah alasan mereka tak tahan saya kerana saya Ahli Parlimen UMNO Baling.

“Jangan kaitkan Tabung Haji yang memiliki 9 juta pendeposit dan UMNO yang memiliki 3 juta ahli.

“Mereka semua nak tahu kenapa saya difitnah dan kenapa Tabung Haji dan UMNO dikaitkan. Saya terima 800 panggilan sejak semalam hingga pagi tadi selepas dakwaan Guan Eng disiarkan di TV3,” katanya sambil menegaskan, beliau tiada kena mengena dengan Konsortium Zenith.