FELDA Sudah Buat Dahulu 'Manifesto' Pakatan Harapan

FELDA Sudah Buat Dahulu ‘Manifesto’ Pakatan Harapan

Isu-isu FELDA yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan sudah 80% diselesaikan, demikian menurut  Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas hari ini membicarakan mengenai intipati manifesto Pakatan Harapan yang dianggap tidak realistik.

Manifesto Pakatan Harapan Tidak Munasabah, Bersifat Populis & Kurang Strategi Pelaksanaan

“Sebanyak 80% isu FELDA yang ditawarkan dalam manifesto Pakatan Harapan telahpun diselesaikan oleh lembaga terlibat dengan sebahagian lainnya dalam peringkat pelaksanaan.

“Iltizam dan janji Pakatan Harapan melalui manifesto terbabit hanya menzahirkan pihak pembangkang sebenarnya bukan hanya tidak mengikuti perkembangan FELDA malah tidak memahami organisasi lembaga itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak manifesto yang disifatkan sebagai akademik itu bukan hanya retorik dan terkebelakang, sebaliknya bersifat emosi tanpa berpandukan fakta.

“Apabila berpandu kepada emosi ditambah tidak faham keadaan sebenar, mereka buat janji tidak munasabah,” katanya kepada pemberita  di Menara FELDA, di sini.

Mengulas lanjut, iltizam dan janji tersebut terutama berkait hutang turut menunjukkan penyelesaian tidak adil apabila Pakatan Harapan mahu menghapuskan 50% hutang.

Ini kerana katanya, pembayaran hutang itu akan menjadi pendapatan tambahan kepada yang berhutang sambil mempersoalkan nasib mereka yang sifar hutang.

Jelasnya, pelupusan hutang oleh pembangkang sebanyak RM5.2 bilion itu bukan hanya melibatkan peruntukan RM2.6 bilion daripada segi pendekatan perakaunan, malah dianggarkan melibatkan pembayaran tunai sebanyak RM2 bilion.

“Ini harus dinilai sama ada ia adalah sesuatu yang realistik, adil atau mapan,” katanya.

Katanya, FELDA melaksanakan cara lebih sistematik apabila melupuskan hutang sebanyak RM5,000 melibatkan peruntukan RM525 juta melalui hutang tanam semula manakala memberikan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada yang tidak berhutang.

Selain itu, sebuah tabung diwujudkan dengan peruntukan RM300 juta bagi tempoh lima tahun bagi melupuskan hutang berlebihan ekoran masalah peneroka FELDA yang berdepan masalah tanah tidak ekonomik serta melupuskan hutang saham FGV melibatkan 80,677 peneroka yang layak dengan kos RM146.8 juta.

Beliau juga turut mempersoalkan mengenai jawatankuasa khas kabinet yang kononnya akan ditubuhkan bagi memantau penyelewengan FELDA yang dianggotai menteri sedangkan pembangkang melaungkan supaya FELDA tidak perlu campur tangan politik.

“Ada juga iltizam pembangkang kata pembayaran hasil dibayar dalam tempoh 40 hari. Ini juga kita telah dilakukan,” katanya.