Kajian Semula Persempadanan Oleh SPR Ikut Tuntutan Perlembagaan, Adil, Telus & Terbuka

Kajian Semula Persempadanan Oleh SPR Ikut Tuntutan Perlembagaan, Adil, Telus & Terbuka

Kajian Semula Persempadanan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah mengikut perlembagaan dan bukan sebagai ‘alat’ untuk kepentingan Barisan Nasional (BN), kata anggota Parlimen, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu ketika membahaskan usul tersebut di Dewan Rakyat hari ini berkata Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan dalam Perkara 113 bahawa kajian semula bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri perlu dilakukan apabila mencapai syarat yang telah ditetapkan.

“Mengenai tuduhan Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang menyatakan SPR sebagai alat BN, ini proses demokrasi, telah ditetapkan dalam Perkara 113, kajian semula perlu dilakukan apabila capai syarat.

“Syor-syor yang dicadangkan SPR ini kita bahaskan sama ada terima atau tolak, tetapi pembangkang keluar daripada perkara-perkara asas. Persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR dan jabatan-jabatan lain ini dilakukan demi menghormati Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Kenapa Kita Perlu Buat Persempadanan Semula?

Beliau berkata proses persempadanan semula penting bagi mengawal kepadatan pengundi di suatu kawasan.

Irmohizam berkata urusan kajian semula persempadanan kali terakhir dibuat pada 2003 iaitu hampir 15 tahun lalu dan demografi penduduk telah berubah dengan ketara, justeru proses persempadanan semula adalah perlu untuk memastikan kebajikan rakyat dapat dijaga secara holistik.

“Ia juga perlu untuk menjamin keberkesanan penyampaian perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk yang diwakilinya. Ia membantu wakil rakyat untuk menjalankan tugas dengan lebih berfokus memandangkan ketidakseimbangan yang wujud sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata rakyat akan menangggung kerugian disebabkan wakil rakyat gagal menjalankan tanggungjawab mereka secara efektif sekiranya kajian semula persempadanan itu tidak diadakan.

Sementara itu, Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) dalam hujahnya berkata pihak SPR telah menjalankan kewajipan berperlembagaan dengan adil, telus dan terbuka.

Katanya, proses kajian semula persempadanan kawasan-kawasan pilihan raya ini juga mencerminkan semangat demokrasi di negara ini dengan penglibatan semua pihak.

“Syor-syor SPR adalah satu hasil penyertaan umum untuk memastikan sistem pilihan raya negara telus dan adil serta menggambarkan keadaan sosiopolitik yang terkini supaya hak mengundi dan ‘One Man One Vote’ dapat direalisasikan,” kata Liang.

Beliau turut mengecam dakwaan anggota Parlimen Gombak dari PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan Barisan Nasional (BN) “mencuri” Pilihan Raya Umum (PRU) dengan memanipulasikan sistem pilihan raya.

“Dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab, yang bertujuan menghasut kemarahan orang ramai terhadap kerajaan.

“Sejarah pilihan raya di Malaysia membuktikan bahawa persempadanan semula tidak memihak kepada mana-mana parti politik malahan tidak menjadi faktor yang menentukan kemenangan atau kekalahan sesebuah parti,” jelasnya.

Terdahulu, dalam perbahasannya, Azmin mendakwa kononnya SPR bersekongkol dengan “sang penguasa” untuk “merompak” pilihan raya daripada rakyat Malaysia.

Perbahasan usul itu antara lain menyentuh mengenai ketidakseimbangan saiz kawasan pilihan raya dan jumlah pemilih.