Krisis Air Selangor: Azmin Lepas Tangan, Salahkan Pihak Lain

Krisis Air Selangor: Azmin Lepas Tangan, Salahkan Pihak Lain

Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan pihak lain termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis air yang melanda beberapa kawasan di Selangor, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan seolah-olah ‘melepaskan tangan’.

Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil berkata air adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan negeri-negeri lain tidak mengalami masalah air yang seteruk di Selangor.

“Mengikut Persatuan Air Malaysia, separuh daripada keseluruhan jumlah kes terputus bekalan air di seluruh negara pada tahun kebelakangan ini berlaku di Selangor iaitu sebanyak 80,000 kes berbanding 160,000 kes di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi. Beliau berkata kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh yang menyalahkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berhubung bekalan air terputus di negeri itu pula umpama ‘meludah ke langit’ dan menyalahkan diri sendiri.

“Ini kerana, SPLASH adalah syarikat yang dimiliki oleh kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti syarikat tersebut melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad,” katanya.

Isham berkata jika Mohamed Azmin dan kerajaan negeri Selangor tidak mampu untuk mentadbir dan menguruskan perkara asas seperti air, mereka perlu meletakkan jawatan dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada kerajaan yang lebih mampu supaya rakyat tidak terus teraniaya dan menderita akibat kegagalan kerajaan negeri itu.

Selangor: Dari Free Water Menjadi Water Free

Pada Selasa lepas, Syabas memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor mulai 6 hingga 9 Mac.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak dengan dua daripadanya pecah serta terpelanting keluar daripada strukturnya.

Kejadian itu menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terus terputus bekalan air sehingga Ahad.