Kritik SPLASH Punca Krisis Air Selangor: Khalid Ibrahim Bidas ADUN DAP Hannah Yeoh

Kritik SPLASH Punca Krisis Air Selangor: Khalid Ibrahim Bidas ADUN DAP Hannah Yeoh

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas ADUN DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh berhubung kritikannya terhadap Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sebagai punca krisis air di negeri itu.

Khalid Ibrahim berkata krisis air di Selangor tidak menjadi seteruk hari ini, jika Hannah Yeoh selaku Speaker DUN membenarkan isu SPLASH dibahaskan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

“Saya juga ingin mengingatkan YB Hannah Yeoh, Speaker Dewan Negeri Selangor bahawa saya pernah meminta Dewan membawa isu air dan pengambilan SPLASH ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) tetapi beliau menolaknya mentah-mentah. Mungkin ketika itu merasakan ianya tidak begitu penting.

“Natijahnya rakyat terpaksa menanggung seksa akibat pemimpin yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Kritikan Khalid Ibrahim itu merujuk kepada kenyataan Hannah Yeoh yang menyalahkan SPLASH yang disifatkannya telah gagal menyediakan maklumat terkini status kerja membaik pulih lalu menyebabkan lebih banyak gangguan pada rutin harian isi rumah dan operasi perniagaan.

“Pengurusan tertinggi SPLASH harus dipertanggungjawabkan dan rakyat Selangor mahu tindakan tegas diambil,” kata Hannah Yeoh.

Membidas kenyataan itu, Khalid Ibrahim berkata kesilapan SPLASH juga ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak boleh lepas tangan dalam isu tersebut.

Pemurahnya Azmin Ali Kepada SPLASH

“Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya sudah pun mengambil alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Namun nampaknya Dato’ Besar Selangor tidak serius langsung untuk berbuat demikian. Tumpuan beliau lebih kepada bagaimana mahu membayar lebih RM2.7bilion kepada SPLASH; bukan untuk menyelesaikan isu air di Selangor.

“Ia adalah satu kecuaian yang jelas di pihak kerajaan negeri. Kecuaian ini telah memberi ruang kepada pemegang saham SPLASH untuk mengaut lebih banyak untung sehingga mereka menjadi berani sebegini.

“Seorang Menteri Besar sepatutnya berjuang untuk rakyat tetapi pergerakan mungkin terhad kerana terlalu kenyang hingga termuntah,” katanya lagi.

Sumber: AIDC