Laporan Krisis Bekalan Air Di Selangor Berasas

Laporan Krisis Bekalan Air Di Selangor Berasas

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata laporan mengenai krisis bekalan air di Selangor yang dijangka berterusan adalah berasas.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung krisis yang tercetus susulan kedegilan kerajaan Selangor yang enggan melengkapkan perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan berhubung penstrukturan air negeri itu.

“Saya tidak mahu komen lebih daripada apa yang dibincangkan. Tunggu masa penggulungan (di Dewan Rakyat) nanti, baru saya jawab.

“Tetapi, apa yang tersiar (berhubung krisis bekalan air dan penstrukturan air Selangor) mempunyai fakta yang berasas. Saya tak mahu komen lanjut sebelum Kerajaan Selangor beri komen,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan BH semalam yang mendedahkan, Kerajaan Selangor menggunakan wang pelaburan Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya digunakan bagi melengkapkan proses penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu, untuk memberi bekalan air percuma kepada rakyat Selangor.

Kegagalan kerajaan negeri melengkapkan perjanjian itu, menyebabkan pelbagai inisiatif menaik taraf aset dan infrastruktur secara berterusan seperti loji dan paip serta tangki air tidak dapat dilaksanakan, sekali gus menyebabkan bekalan sering terganggu dan terputus hingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Malah, ketika ini, margin simpanan bekalan air terawat di Selangor begitu rendah iaitu sekitar 4% berbanding margin simpanan yang baik antara 15% hingga 20%, menyebabkan lebih luas kawasan akan terjejas jika bekalan air terputus.

Ditanya mengenai cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan menubuhkan Jabatan Air Wilayah Persekutuan bagi menguruskan bekalan air di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Maximus berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan antara kedua-dua kementerian.

Beliau mengakui wujud keperluan bagi merealisasikan cadangan itu berikutan Kuala Lumpur dan Putrajaya bergantung kepada bekalan air Selangor, yang menyebabkan kedua-dua kawasan itu turut terjejas dengan krisis dicetuskan Selangor.

“Cadangan itu sudah lama dibincangkan, tetapi kita perlu memastikan cadangan itu mematuhi peraturan dan Akta 665 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006).

“Antara masalahnya adalah ketika ini paip dan semua infrastruktur serta bekalan air adalah termasuk dalam konsesi sedia ada oleh kerajaan Selangor walaupun (pengurusan) tidak sempurna dan banyak masalah.

“Tapi kalau mereka mahu mengambil air dari kawasan Putrajaya dan ingin mengurus sebagai tambahan kepada bekalan air (sedia ada), itu boleh dipertimbangkan,” katanya.

Maximus berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan boleh menggunakan air bawah tanah, penuaian air hujan atau kawasan lombong memandangkan kebanyakan sumber air mentah berada dalam negeri Selangor.

“Namun, perlu dipastikan terlebih dahulu jumlah air yang boleh digunakan sebagai sumber bekalan air bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya… namun, ideanya baik dan ada keperluan,” katanya.

Sumber: BH