Mahathir Dicabar Gesa Negara Maju Mansuhkan GST, Kembalikan SST

Mahathir Dicabar Gesa Negara Maju Mansuhkan GST, Kembalikan SST

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar menggesa negara-negara maju termasuk Jepun yang melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) memansuhkan cukai tersebut di negara masing-masing.

Datuk Liang Teck Meng (Simpang Renggam-BN) berkata, sehingga kini tiada mana-mana negara pun yang melaksanakan GST kembali kepada sistem lama sebaliknya Singapura turut meningkatkan kutipan GST.

Sehubungan itu menurutnya, Mahathir tidak seharusnya lantang menggesa pimpinan negara ini menghapuskan cukai terbabit, sebaliknya perlu berpendirian sama berhubung pelaksanaan tersebut di negara-negara lain.

“Tun Mahathir terkenal  di arena antarabangsa. Kalau boleh bukan hanya bercakap kepada rakyat Malaysia, kalau boleh menyeru semua negara yang melaksanakan GST balik kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Kalau sanggup buat begitu saya kata (Mahathir) hebat. Kalau tidak, jangan memalukan Malaysia,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Teck Meng bagaimanapun dibidas oleh Teo Kok Seong (Rasah-DAP) apabila memberikan contoh berhubung kenaikan harga telefon pintar Samsung.

Kok Seong ketika mencelah perbahasan beliau menjelaskan bahawa GST tidak boleh dihubungkaitkan dengan perubahan harga telefon pintar tersebut.

“Saya rasa sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kita membawa suara kita di Dewan Rakyat. Pada hari ini rakyat hidup susah sebab masalah GST. Saya anggap pilihan raya kalau rakyat sokong GST, sokonglah BN, kalau rakyat tolak GST, sokonglah Pakatan Harapan,” katanya.