sommaruga cynthia bala lim kit siang wan azizah Pakatan Harapan Makin Terdesak Sebar Fitnah 1MDB Di Switzerland?

Pakatan Harapan Makin Terdesak Sebar Fitnah 1MDB Di Switzerland?

Adakah pembangkang terutama Pakatan Harapan kini semakin terdesak mencipta isu bagi menyerang kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Terbaharu, pakatan pembangkang didakwa menggunakan berita palsu dengan menggunakan rangkaian mereka di luar negara.

Apa yang dilakukan mereka?

Wang Yang Dipegang Perbendaharaan Switzerland Bukan Milik 1MDB

Pembangkang membuat permohonan supaya dikembalikan wang yang dibekukan oleh Perbendaharaan Switzerland kepada rakyat Malaysia yang didakwa milik 1MDB dan Kementerian Kewangan (MOF) berjumlah CHF104 juta (RM430 juta).

Walaupun 1MDB dan MOF telah masing-masing mengeluarkan kenyataan menjelaskan kedudukan sebenar perkara ini namun pembangkang cuba menggunakan berita palsu ini untuk menghakis keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Faktanya, seperti dijelaskan oleh 1MDB dan MOF bahawa wang yang dirujuk bukanlah wang 1MDB dan wang kerajaan Malaysia.

Sebenarnya wang CHF104 juta itu sebenarnya jumlah denda dan penalti yang dikenakan kepada beberapa buah bank di negara tersebut yang didapati melanggar beberapa peraturan perbankan di sana. Malah wang tersebut masih dipertikaikan dan dituntut oleh bank-bank di sana.

Perlu diketahui bahawa taktik yang sama juga pernah digunakan pembangkang menjelang PRU-13, di mana Ahli Parlimen Switzerland yang sama dari Parti Social Demokrat mengemukakan soalan di parlimen negara itu berkaitan pembekuan aset pemimpin tertentu dan telah menggunakan jawapan di Parlimen dengan cara diputarbelitkan cerita untuk memenuhi perancangan pesong media pembangkang.

Kali ini sekali lagi modus operandi yang sama, di mana pada 18 Jun 2017 Ahli Parlimen Social Demokrat, Carlo Sommaruga mengemukakan usul 17.3547 bertajuk ‘Repatnation of Corruption Funds to the Robbed Population’.

Ternyata kedua-dua usaha ini melibatkan beberapa orang yang sama dan telah dirancang demikian rupa, walaupun kes sebenar bukanlah seperti mana yang cuba digambarkan.

Siapa sebenarnya Sommaruga?

Sommaruga diketahui mempunyai hubungan dengan beberapa tokoh pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti kerajaan. Baru-baru ini, Lim Kit Siang dan Wan Azizah Wan Ismail turut berperanan menyebarkan berita palsu kononnya terdapat wang 1MDB ditahan di Switzerland.

Kenapa pembangkang mahu terus memberikan gambaran kepada rakyat bahawa 1MDB kehilangan wang dan wang 1MDB dicuri?

Walhal, duit seperti yang dinyatakan di Switzerland bukan wang 1MDB dan langsung tiada kaitan dengan 1MDB.

Parlimen Switzerland juga menentang usul mengembalikan dana berkaitan 1MDB yang diperolehi secara salah kepada negara asalnya. Usul itu yang dianggap terlalu umum itu dibentangkan oleh Sommaruga. Sejumlah 138 anggota parlimen mengundi menentang usul itu dan hanya 53 menyokong. Tiada yang berkecuali.

Perlu difahami 1MDB menjalankan urus niaga dan pelaburan dengan atau melalui pihak tertentu dan kebertanggungjawaban mereka terhad setakat mana dan dengan siapa mereka berurusan.

Yang penting 1MDB melabur secara sah dan telah mendapat kembali pelaburannya malah dengan keuntungan.

Mana mungkin setelah beroleh pulangan dari pelaburannya dan dengan tiada kehilangan apa apa 1MDB mahu menuntut wang pelaburan yang sudah menjadi hak orang lain sebagai hak mereka.

Lainlah kalau 1MDB kehilangan wang mereka. Jika itu berlaku semestinya kehilangan tersebut dicatat di dalam akaunnya dan pasti akaun berkenaan akan diperiksa oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dakwaan pembangkang itu perlu disiasat memandangkan ada bukti yang munasabah beberapa orang tertentu terlibat beberapa kali dalam usaha menjadikan rakyat membenci dan menolak kerajaan yang memerintah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menyiasat perkara ini lebih lanjut.

Pihak-pihak yang lain yang terbabit juga patut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat. Jika tidak diambil tindakan, penyebaran berita palsu akan berleluasa di negara ini.

Bukan sahaja rakyat akan keliru, kerajaan juga akan menerima tempiasnya akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Bahayanya adalah kerana mereka turut melibatkan pihak asing untuk mencampuri urusan negara.

Apakah kita mahu biarkan penyebar berita palsu di negara ini bermaharajalela terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ia pasti membarah dan penuh spekulasi tidak benar yang meracuni fikiran pengundi pada hari membuang undi nanti.

Sumber: Malaysian Access