Persempadanan Semula: Lalui Proses Undang-Undang, Pendengaran, Semakan & Sebagainya

Persempadanan Semula: Lalui Proses Undang-Undang, Pendengaran, Semakan & Sebagainya

Tindakan pembangkang cuba melengah-lengahkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan membuat kecoh dan bantahan di Parlimen, hari ini adalah untuk menarik perhatian media tempatan dan media antarabangsa.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata tindakan pembangkang itu lebih kepada satu cubaan untuk ‘memburukkan imej SPR’.

“Saya sudah jangka mereka (pembangkang) akan tetap buat bantahan, demonstrasi sampai ke penghujung supaya mereka diberi liputan dan perhatian bukan sahaja media tempatan tetapi media antarabangsa.

“Syor persempadanan semula hanya perlu undian majoriti mudah daripada 112 Ahli Parlimen dan pembangkang melihat peluang mereka untuk menyekat (usul) sudah tiada.

“Dengan ini (bantahan) mereka cuba menunjukkan isyarat bahawa urusan SPR tidak adil, tidak mendengar kehendak rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas bantahan pembangkang di Dewan Rakyat yang menyebabkan penggantungan enam bulan, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Wan Ahmad yang terbabit dalam dua persempadanan semula pilihan raya sepanjang 16 tahun berkhidmat dengan SPR, berkata laporan SPR berhubung usul persempadanan semula sudah melalui proses undang-undang, pendengaran, semakan, pameran, siasatan tempatan, mempamerkan dan SPR turun padang mendengar bantahan pengundi kawasan negeri atau pihak berkuasa tempatan yang berhak dari sudut perlembagaan.

Katanya, ia termasuk 10 bantahan pembangkang mencabar usul itu di Mahkamah Persekutuan, yang akhirnya dengan jelas menolak cabaran kerana termaktub bawah bidang kuasa Parlimen.

“Setiap kali dibuat (persempadanan) dicabar. Sampai bila SPR nak buat kerja? Persempadanan semula kena selesai dalam masa dua tahun. Kerja SPR sudah tertangguh lebih setahun kerana cabaran di mahkamah,” katanya.

Wan Ahmad turut menyelar pembangkang yang mudah salah faham dan sesuka hati mempersendakan kerja SPR kerana suruhanjaya itu menjalankan kerja secara telus mengikut undang-undang.

Ketika ditanya dakwaan pembangkang usul persempadanan semula memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) meraih undi, Wan Ahmad berkata tindakan pembangkang hanya satu persepsi yang merugikan.

Katanya sebagai negara demokrasi, rakyat berhak menentukan undi mereka.

“Walau apa kawasan sekali terbabit dalam pilihan raya dan bentuk sempadan, akhirnya rakyat selaku pengundi keluar buat pilihan.

“Kononnya (dengan persempadanan semula) longgokan pengundi diletakkan di satu kawasan itu hanya andaian. Pembangkang kena faham senario politik dalam tempoh dua tahun mungkin sudah berbeza, lokaliti pengundi mungkin sudah berubah sikap sekarang,” katanya.

Ketika ditanya berapa lama pembangkang boleh melengah-lengahkan perbahasan usul persempadanan semula, Wan Ahmad berkata ia bergantung kepada budi bicara Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat.

“Terserah kepada Parlimen untuk meluluskan syor usul. Parlimen mewakili rakyat yang akan menentukan sama ada cadangan persempadanan semula oleh SPR di lulus atau ditolak,” katanya.

Sumber: BH