Agong Perkenan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 Diwartakan

Agong Perkenan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 Diwartakan

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan mulai hari ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, berkata akta terbabit diwartakan susulan perkenan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, justeru digazetkan hari ini,” katanya.

Kenapa Takut Akta Antiberita Tidak Benar?

Perdana Menteri menegaskan, kebebasan bersuara dan media tidak mutlak, sebaliknya hak berkenaan perlu bersandarkan tiga perkara.

Beliau berkata, ia merangkumi aspek tanggungjawab, penerbitan berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan di Malaysia.

“Kebebasan bersuara dan media tidak wajar diterjemahkan mengikut tafsiran umum atau universal serta menggunakan acuan barat, yang ternyata tidak selari dengan adat resam rakyat negara ini.

“Acuan seperti ini turut bercanggah dengan kesesuaian dan sensitiviti tempatan, selain menjurus kepada penerbitan rangkaian berita tidak benar yang berupaya menggugat ketenteraman serta kestabilan awam,” katanya.

Berita Baik 3 Bulan Pertama Tahun 2017

Najib berkata, kerajaan cakna mengenai kegusaran pengamal media terhadap penggubalan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dikatakan bakal mengekang kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

Tegasnya, pandangan berkenaan adalah tidak tepat kerana Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal sebelum ini, menerusi Seksyen 8A menggariskan kesalahan menyiarkan sebarang berita palsu.

“Meskipun ada peruntukan undang-undang sedia ada, ia tidak mencukupi untuk membendung penyebaran berita tidak benar yang semakin menular susulan ledakan teknologi maklumat. Oleh itu, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 digubal,” katanya.

Seiring kehangatan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Najib meminta pengamal media untuk tidak menjadi penyebar berita palsu, semata-mata ingin meraih populariti dalam kalangan pembaca.

Beliau berkata, media sebaliknya perlu bersaing secara bermaruah dengan melaksanakan sebarang proses penerbitan menerusi pelbagai saringan bagi memastikan kesahihan berita yang akan disiarkan.

“Harapnya tiada lagi cerita pengundi hantu dari Bangladesh dan ‘blackout’ dijaja menjelang PRU-14, tetapi saya tidak begitu optimis kerana pasti akan ada bahan sensasi disajikan kepada orang ramai.