Apa Guna Pilih Biru Yang Lebih Muda, Jika Pemimpinnya Tua Bangka

Apa Guna Pilih Biru Yang Lebih Muda, Jika Pemimpinnya Tua Bangka

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyindir kempen pembangkang yang mengajak rakyat untuk memilih warna biru muda dan menolak warna biru tua, dengan mengatakan apa gunanya menggunakan logo berwarna biru muda tetapi mencalonkan pemimpin tua bangka sebagai menjadi calon Perdana Menteri.

Jelas beliau, kempen yang dijual pembangkang kepada rakyat agar jangan memilih biru tua tetapi pilihlah warna biru muda ternyata amat kontradik sekali dengan kepimpinan yang ditawarkan oleh pihak pembangkang.

“Pembangkang berkempen, jangan pilih biru tua tapi pilihlah warna biru muda. Jadi saya nak jawablah, apa guna biru muda kalau pemimpin tua bangka. Setiap pemimpin ini kena buat kerja. Mereka kena bekerja lebih kuat lagi rakyat.

“Sebab itu kita kena angkat pemimpin yang rajin dan kuat bekerja seperti Datuk Seri Najib dan Datuk Mustapha. Jangan rakyat sahaja yang rajin, tapi kita lantik pemimpin tua tak larat, tidur lebih banyak daripada buat kerja.

“Jadi pastikan kita mesti angkat pemimpin rajin seperti kepimpinan yang sedia ada hari ini. InsyaAllah, jika kita punyai pemimpin yang rajin seperti Datuk Seri Najib, Datuk Mustapha, rakyat juga yang akan mendapat manfaatnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Kenduri Rakyat yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bertempat di Yayasan Kemiskinan Kelantan di Ketereh, Kelantan semalam.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad dan juga saf kepimpinan UMNO Kelantan di peringkat negeri dan juga bahagian.

Sementara itu, beliau  menegaskan bahawa ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) di parlimen Ketereh akan terus berdiri teguh bersama parti dan perjuangan, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan memastikan kemenangan BN di parlimen ini pada PRU ke 14 ini.

“Di zaman pemerintahan Datuk Seri Najib, pintu pembangunan terbuka luas untuk negeri Kelantan, termasuklah di negeri-negeri pantai timur, di mana ia tidak berlaku di dalam mana-mana kepimpinan negara sebelum ini.

najib ecrl Pertumbuhan Sebenar Di Pantai Timur, Pembangkang Mahu Menyoal Manfaatnya?

“Sejak tujuh dekad, tujuh perdana Menteri, Kelantan tidak berubah wajah. Tetapi hari ini, lahir seorang pemimpin yang berdarah pantai timur, yang hatinya dekat dengan Kelantan. Sebab itu Datuk Seri Najib berani buat keputusan untuk belah banjaran titiwangsa, walaupun terpaksa bina berpuluh terowong untuk melaksanakan projek ECRL sebagai pemangkin ekonomi bagi negeri-negeri di pantai timur.

“Sebab itu rakyat Kelantan kena tolak pakatan pembangkang kerana sekiranya mereka menang, menurut pengerusi pakatan harapan, Tun Mahathir, mereka akan membatalkan projek ECRL yang dirancang bertujuan untuk membangunkan ekonomi negeri-negeri di pantai timur.

“Justeru saya menyeru, agar rakyat Kelantan tanpa mengira parti atau apa saja perbezaan, sebelum Tun Mahathir batalkan projek ECRL yang bakal merubah wajah negeri-negeri di pantai timur, maka kita hendaklah sepakat menolak pakatan harapan dengan tidak memberikan undi kepada mereka pada PRU yang akan datang ini,” tegasnya.