ECRL Sasar 70% Pekerja Tempatan

ECRL Sasar 70% Pekerja Tempatan

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyasarkan pengambilan 70% pekerja tempatan daripada jumlah tenaga kerja diperlukan manakala 30% lagi akan dipenuhi oleh tenaga kerja dari China dan negara Asia lain.

Dalam kenyataan hari ini, jurucakap Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata projek ECRL mengambil sejumlah 1,718 orang bagi tenaga kerja pembinaan.

“Daripada jumlah itu, bilangan tenaga kerja dari China hanya 311 orang atau 18% daripada keseluruhan tenaga kerja pembinaan ECRL pada masa ini,” katanya.

Situasi Sebenar Pekerja-Pekerja Dalam Projek ECRL

MRL adalah pemilik projek ECRL, manakala China Communications Construction Company Ltd (CCCC) merupakan kontraktor utama projek tersebut.

Jurucakap MRL itu berkata dianggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan ECRL.

“Pihak kontraktor utama ECRL akan terus memberi keutamaan kepada penggunaan bahan-bahan binaan dari syarikat tempatan di Malaysia.

“Bagaimanapun, beberapa mesin dan peralatan khas seperti mesin pengorek terowong, perlu dibawa masuk dari China dan dikendalikan oleh pakar untuk melancarkan kerja pembinaan terowong di lokasi tertentu,” katanya.

Beliau berkata setakat Februari 2018, sebanyak 215 syarikat tempatan terlibat dalam pembinaan projek infra-rakyat ECRL, yang terdiri daripada 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan.

Sumber: FMT