GST Penambahbaikan Kepada Sistem Percukaian SST Untuk Bantu Rakyat - Muhyiddin

GST Penambahbaikan Kepada Sistem Percukaian SST Untuk Bantu Rakyat – Muhyiddin

Inilah pandangan Muhyiddin Yassin tentang GST sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan apabila bersama pembangkang:

Dipetik dari laporan berita bertarikh 29 April 2015:

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di Rompin, Pahang, tindakan segera perlu diambil kerana sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan setelah menyangka kenaikan harga barang berpunca daripada pelaksanaan GST.

Muhyiddin juga berkata pelaksanaan GST sejak 1 April lalu sepatutnya membantu  rakyat menikmati harga barang yang lebih murah kerana kadar cukai itu ditetapkan sebanyak enam peratus sahaja, lebih rendah berbanding 10 peratus kadar cukai SST.

“Hari ini dalam mesyuarat kabinet, kita minta supaya Jabatan Peguam Negara segera ambil tindakan kepada kes yang dibawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Mana-mana kes yang terang-terangan ambil kesempatan menipu rakyat, cepat-cepat dikenakan hukuman,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja beliau ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, di Dataran Rompin, hari ini.

“Peniaga yang ikut peraturan tak perlu takut kerana kita sepatutnya kena tolong pengguna. Jangan bebankan rakyat, sebab nanti mereka salahkan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata GST yang merupakan penambahbaikan kepada sistem percukaian SST bertujuan membantu rakyat kerana wang yang diperoleh kerajaan menerusi GST akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pelbagai pelan pembangunan.

Muhyiddin berkata beliau memahami rungutan rakyat dalam soal kos sara hidup, dan kerajaan sentiasa berusaha menangani perkara itu menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan dan pemberian baucar buku.

“Saya sendiri sokong GST, memanglah pada peringkat awal ini orang marah-marah (dengan pelaksanaan GST), tapi lama-kelamaan ia akan semakin stabil dan tidak ada kecoh, baharulah orang nampak kebaikannya,” kata beliau.

Muhyiddin Pernah Akui GST Kukuhkan Ekonomi Negara

Berhentilah perbodohkan rakyat dan berdolak-dalik serta membuat pusingan-U.