Henti Fitnah Adik Mati Dipukul Sultan - Kakak Prebet Adam

Henti Fitnah Adik Mati Dipukul Sultan – Kakak Prebet Adam

“Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam.”

Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai ‘caddy’ golf kepada Almarhum.

Beliau berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun, kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

Keluarga Prebet Adam Mohon Maaf Kepada Kerabat Diraja Johor

“Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan.

“Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua daripada sembilan beradik berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

“Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini,” katanya yang tinggal di Pangsapuri Taman Desaria Sri Merpati, di sini, hari ini.

Kejadian amuk membabitkan Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987, pernah menggemparkan negara dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas TMJ menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik “individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri”.