rafidah aziz Isu Tanah MINDEF: Tuduhan Palsu & Tidak Bertanggungjawab

Isu Tanah MINDEF: Tuduhan Palsu & Tidak Bertanggungjawab

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelar Tan Sri Rafidah Aziz yang disifatkan membawa dakwaan palsu dan tidak bertanggungjawab dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri semalam.

“Tuduhan-tuduhan yang dikemukakan oleh Tan Sri Rafidah itu ialah maklumat yang salah dan penipuan semata-mata,” kata Hishammuddin kepada media di Kuching, Sarawak hari ini.

hishammuddin hussein Tuduhan Rafidah Aziz Adalah Tidak Benar & Pembohongan! - Menteri Pertahanan

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menulis surat terbuka kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam membuat beberapa dakwaan antaranya tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dimiliki oleh sebuah syarikat diuruskan oleh tiga orang.

“Tuduhan Tan Sri Rafidah Aziz bahawa sebuah syarikat milik tiga individu yang kini memiliki setiap inci tanah MINDEF di Malaysia adalah tidak benar dan merupakan satu pembohongan yang nyata,” tegas Hishammuddin.

“Dakwaan beliau bahawa syarikat ini didakwa membuat semua keputusan mengenai tanah MINDEF juga adalah tidak benar,” katanya lagi.

“Tuduhan bahawa projek pertanian komersial berskala besar melibatkan tanah yang dimiliki oleh syarikat 3 individu ini juga tidak benar. Ini hanyalah perbincangan saya dengan Menteri Pertanian, Datuk Seri Shabery Cheek dua tahun lepas mengenai food security,” jelas Hishammuddin.

Kementerian Pertahanan Jawab Tuduhan Rafidah Aziz

Jelas Hishammuddin, beliau tidak tahu apa sebenarnya tujuan Rafidah mengeluarkan tuduhan-tuduhan seperti itu, sedangkan beliau berada dalam Kabinet semasa beberapa keputusan tersebut dibuat.

“Sebagai sebahagian daripada Ahli Kabinet pada waktu itu, yang membuat keputusan (berkaitan perkara yang disebut) Tan Sri Rafidah Aziz sangat tidak bertanggungjawab!” tegasnya.

“Berdasarkan masa yang terhad yang saya ada untuk memeriksa dakwaan-dakwaan tersebut, tiga perkara ini dapat saya jawab pada masa ini,” kata Hishammuddin lagi.

Sumber: Mynewshub