Jangan Melatah! Ketahui 10 Fakta Pembubaran PPBM Yang Tak Boleh Dinafikan

Jangan Melatah! Ketahui 10 Fakta Pembubaran PPBM Yang Tak Boleh Dinafikan

Jabatan Pendaftaran (ROS) menerusi sidang medianya semalam mengumumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Pengerusinya merangkap calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, digantung sementara.

Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim menjustifikasikan keputusan tersebut mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 kerana kegagalan PPBM mengemukan maklumat dan juga dokumen yang diminta jabatan tersebut.

“Notis 14 (2) merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh ROS untuk PPBM mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti. Notis itu dikeluarkan kerana terdapat aduan yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu sendiri.

“Pembubaran sementara ini membawa maksud PPBM tidak dibenarkan menganjurkan sebarang aktiviti buat masa sekarang termasuk penggunaan logo dan nama parti. Berhubung pilihan raya umum, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta maklumat kita akan memberikan kerjasama,” kata Surayati dipetik Utusan Online.

Jika diimbas kembali kronologi yang membawa kepada kemelut pembubaran sementara PPBM, masalah timbul akibat daripada aduan oleh ahli-ahli PPBM sendiri.

PPBM Desak Agihan Kerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan Dinilai Semula

Berikut merupakan 10 punca pembubaran sementara PPBM menurut Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To:

1. Masalah antara PPBM dan ROS telah diketahui umum sejak berbulan-bulan yang lalu.

2. Ahli-ahli PPBM sendiri telah membuat banyak aduan tentang masalah pengurusan dan penajaan dalam PPBM.

3. Malah sehingga hari ini, mereka sendiri kurang pasti tentang kesahihan sayap parti Srikandi mereka, serta siapa sebenarnya ketua sayap tersebut.

4. Kepimpinan parti, termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku yang PPBM mengalami kesulitan untuk memenuhi syarat pendaftaran ROS.

5. PPBM tidak pernah membuat sebarang pemilihan parti.

6. Logo PPBM dan Parti Amanah Negara (PAN) masih baru dan tidak dikenali ramai jika dibandingkan dengan logo PKR dan DAP.

7. Proses mendaftarkan calon PPBM di bawah logo PKR atau DAP hanya mengambil masa kurang daripada 1 hari.

8. Hari ini, DAP telah mengumumkan mereka tidak akan menggunakan logo roket. Jadi besar kemungkinan logo PKR akan digunakan untuk pilihan raya kali ini.

9. Memandangkan PPBM sendiri tidak mahu menggunakan logo mereka untuk pilihan raya; jika ROS membubarkan parti ini atas kelemahan pengurusan parti dan masalah kekurangan dana, pihak yang paling untung sekali ialah PPBM dan Pakatan Harapan juga. Ia kerana mereka boleh menggunakan isu ini untuk menyalahkan Datuk Najib Razak dan BN dengan berlakon menjadi mangsa keadaan.

10. Sekiranya ROS mengizinkan PPBM menggunakan logo mereka sekali pun untuk pilihan raya-pilihan raya akan datang, PPBM tetap tidak akan menggunakan logo mereka.

Dan ini semua adalah kenyataan yang tidak boleh dinafikan mereka.

Mahathir Akui PPBM Tak Adakan Mesyuarat Cawangan

Dr Mahathir menerusi sidang medianya semalam berkata, akan membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya rayuan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meluluskan PPBM, gagal.

Sementara proses tersebut belum berakhir, Dr Mahathir menegaskan bahawa PPBM akan terus bergerak sebagai sebuah parti politik dan menjalankan aktiviti seperti biasa.