muhyiddin Mansuh GST: Cukai Pendapatan Naik, Pinjam Dana Asing?

Mansuh GST: Cukai Pendapatan Naik, Pinjam Dana Asing?

Apa sahaja yang boleh menarik sokongan rakyat akan menjadi modal gabungan pembangkang PKR seperti menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun sehingga hari ini mereka masih membisu tentang alternatif menampung kehilangan hasil RM20 bilion.

Pakatan Kini Kata Tidak Akan Mansuhkan GST Jika Menang PRU14

Setakat ini, langkah yang disebut-sebut ramai penganalisis akibat janji populis itu tentulah meningkatkan cukai pendapatan sekali gus memberi lebih tekanan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini ‘terpersona’ sementara dengan janji mansuh GST.

Menurut Penolong Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah, satu lagi kemungkinan ialah terpaksa meminjam daripada dana asing seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semata-mata untuk memenuhi janji menghapuskan GST.

Katanya, malah tidak mustahil juga gabungan pembangkang PKR jika menang akan membuat pusingan-U terhadap janji tersebut kerana kehilangan hasil akibat langkah tersebut bukan sedikit.

Justeru, jelas beliau, janji populis itu perlu dinilai baik dan buruk lagi pun peningkatan harga barang sebenarnya bukanlah 100% disebabkan GST sebaliknya kerana kewujudan kartel atau orang tengah yang membuatkan rakyat terbeban.

“Kita perlu berfikir dengan mendalam mengenai tawaran bulan dan bintang gabungan pembangkang PKR yang tidak berpengalaman mentadbir negara kerana kemungkinan untuk mereka berpatah balik dengan tidak melaksanakan janji adalah amat tinggi.

“Jika mahu melaksanakan pun mungkinkah Malaysia terpaksa mendapatkan bantuan dana asing seperti meminjam daripada IMF semata-mata untuk memenuhi janji berkenaan yang sekali gus membebankan rakyat berbanding ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

8 Soal Jawab Mengenai GST Yang Sering Diputarbelitkan

Tambah Mohd. Ainuddin Iskandar, setiap negara perlu mempunyai pelbagai sumber pendapatan dan GST merupakan satu daripadanya, namun jika sumber pendapatan itu hilang, kerajaan pemerintah perlu menyenaraikan alternatif lain.

“Jika kita lihat kepada kedudukan fiskal negara, GST bukanlah penyumbang terbesar kepada pendapatan kerana hasil negara banyak tertumpu kepada duti import, kadar eksport dan sebagainya.

“Janji untuk menghapuskan GST ini tidak berpijak di bumi nyata kerana setiap negara di dunia pun mempunyai cukai kecuali mempunyai hasil mentah luar biasa yang mampu menanggung segala perbelanjaan,” ujar beliau.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat menghargai golongan M40 termasuk menurunkan cukai pendapatan sebanyak dua mata asas dan terbaharu turut mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan dengan bayaran RM700.