MINDEF Perjelas Projek Pembangunan Tanah Milik ATM

MINDEF Perjelas Projek Pembangunan Tanah Milik ATM

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menafi dakwaan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, bahawa semua tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipindah milik kepada sebuah syarikat swasta yang dikawal tiga individu.

Kementerian Pertahanan Jawab Tuduhan Rafidah Aziz

MINDEF dalam kenyataannya, menegaskan kementerian itu melaksanakan projek pembangunan melalui pelbagai kaedah termasuklah penswastaan secara pertukaran tanah.

“Lantikan syarikat-syarikat yang berjaya adalah mengikut prosedur yang sudah ditetapkan pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Setiap projek pembangunan dilaksanakan oleh syarikat yang berlainan dan tidak mempunyai sebarang kaitan di antara satu sama lain,” kata kenyataan itu.

MINDEF berkata, pelaksanaan projek kementerian itu menerusi kaedah pertukaran tanah adalah mekanisma yang diguna pakai dalam rangka model kerjasama awam swasta, PPP (Public Private Partnership) diselaraskan UKAS.

“Setiap projek pembangunan melalui kaedah penswastaan secara pertukaran tanah yang dilaksanakan MINDEF perlu dibincangkan terlebih dulu di peringkat Jawatankuasa Kementerian dan Jawatankuasa UKAS, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan prinsip.

“Selepas kelulusan prinsip diperoleh, cadangan projek pembangunan itu perlu mendapat perakuan daripada Jawatankuasa UKAS dipengerusikan oleh Ketua Pengarah UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya.

Tambah kenyataan itu, proses terbabit melalui pelbagai peringkat dan saringan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diteliti satu persatu sebelum kelulusan pelaksanaan.

“Tanah milik MINDEF yang terbabit dengan kaedah pertukaran tanah dilaksanakan selepas mendapat persetujuan ‘end user’ seperti Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pertimbangan penempatan kem-kem mengambil kira lokasi strategik, keselamatan kem, kesesuaian dengan tugas-tugas operasi serta keselamatan penduduk sekitar,” katanya lagi.

Oleh itu, katanya kem-kem terbabit perlu ditempatkan semula di kawasan-kawasan yang lebih sesuai.