PAS Sokong Projek ECRL, Mahathir Nafikan Hak Rakyat Pantai Timur

PAS Sokong Projek ECRL, Mahathir Nafikan Hak Rakyat Pantai Timur

PAS menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan hak rakyat Terengganu apabila bercadang membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat, berkata parti itu menolak hasrat Pengerusi PH itu untuk membatalkan projek berkenaan yang disifatkan memberi manfaat besar kepada warga Terengganu.

“Kita tidak nafikan memang projek ini membabitkan kos yang tinggi, namun ia adalah kemudahan alternatif untuk rakyat di tiga negeri Pantai Timur ini.

“Inilah masanya untuk Terengganu, Kelantan dan Pahang menikmati alternatif pengangkutan yang menghubungkan negeri ini dengan Lembah Klang, yang secara tidak langsung juga akan memberi impak kepada ekonomi negeri.

“Kita tidak setuju jika PH mahu batalkan projek ini kerana itu bermaksud mereka menafikan hak rakyat Terengganu. Sampai bila mahu nafikan hak pembangunan untuk Terengganu?” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, Satiful berkata, PAS negeri juga berharap kerajaan dapat menaik taraf projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang disambung terus ke Kelantan, bagi kemudahan penduduk Terengganu dan Kelantan.

Satiful mengulas kenyataan Dr Mahathir pada Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda di Putrajaya, yang tidak menolak kemungkinan PH akan menghentikan projek ECRL sekiranya menang PRU-14.

Ia kerana Dr Mahathir dilaporkan berkata, projek bernilai kira-kira RM55 bilion itu adalah satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan untuk rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Terengganu, Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata, ECRL adalah projek berimpak tinggi yang sangat dialu-alukan oleh penduduk Pantai Timur.

Justeru beliau berkata, kenyataan Dr Mahathir bahawa projek berkenaan membazir adalah tidak tepat dan harus ditolak.

ECRL Projek Bertaraf Dunia Untuk Rakyat Biasa

“Orang Pantai Timur pun hendak nikmati pembangunan juga. Tidak tahulah apa niat beliau berkata begitu, tetapi kalau itu tujuannya jika PH menang PRU-14, ia sepatutnya membuka mata rakyat bahawa pemimpin begini harus ditolak mentah-mentah.

“Ini kerana mereka tidak langsung memikirkan untuk kebaikan rakyat. Lagi pula projek berkenaan sudah bermula dengan proses pengambilan tanah daripada individu juga sudah berlaku.

“Kalau hendak batalkan projek itu, sudah tentu kerajaan perlu bayar ganti rugi. Jadi siapa mahu bayar? PH mahu bayar ganti rugi?” katanya.