Pemimpin BN Diftnah Lagi! Kali Ini Dituduh 'Sogok' Pendatang Asing

Pemimpin BN Diftnah Lagi! Kali Ini Dituduh ‘Sogok’ Pendatang Asing

Walaupun Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 sudah digazetkan secara rasmi semalam, namun keterdesakan pihak pembangkang menyebarkan tuduhan palsu dan fitnah nampaknya semakin menjadi-jadi, terutamanya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin menghampiri.

Terbaharu, tular di laman sosial sebuah rakaman video mendakwa Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim cuba memancing undi dengan memberikan wang kepada warga asing supaya mengundi Barisan Nasional (BN).

Video dimuat naik di laman Facebook Friends Of Selangor dengan status mendakwa Abdul Mutalif, yang merupakan adik kepada Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kononnya telah memberi rasuah kepada individu tersebut bagi menyokong BN.

“9 haribulan lima ni, hari buang undi… pastikan, beritahu pada semua kakak abang, undi bagi pada Barisan Nasional… Saya akan pastikan, kita menang hari ni, Selangor kita menang, ambil balik pentadbiran Barisan Nasional, minggu depan tu saya akan datang balik kedai ini. Saya akan bantu dapatkan lesen untuk awak,” katanya dalam rakaman tersebut.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa Abdul Mutalif memberi bantuan kepada warga asing sebenar adalah tidak benar, sebaliknya ketika kejadian beliau datang untuk menghulurkan bantuan kepada peniaga warga tempatan, yang mana premis perniagaan mereka terbakar baharu-baharu ini.

Perkara biasa yang dilakukan oleh wakil rakyat, Abdul Mutalif juga meminta supaya penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan mengundi BN bagi mengambil alih semula Selangor.

Susulan penularan fitnah tersebut yang mencetuskan kecaman dan reaksi negatif terhadap BN, difahamkan satu laporan polis akan dibuat oleh Abdul Mutalif dalam masa terdekat.

Malah, dakwaan kononnya pemimpin BN memberikan dedak untuk memancing undi rakyat nampaknya terkena pada batang hidung sendiri apabila satu rakaman video memaparkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin, yang sebenarnya berbuat demikian.

Muhyiddin dilihat menghulurkan sejumlah wang kepada wanita warga emas dipercayai ketika melawat kawasan di sebuah kampung, yang tidak dapat dipastikan lokasinya.

Sumber: Malaysian Digest