RUU Antiberita Tidak Benar Seiring Prinsip PAS Menolak Berita Palsu - Nasrudin Hassan

RUU Antiberita Tidak Benar Seiring Prinsip PAS Menolak Berita Palsu – Nasrudin Hassan

“RUU Antiberita Tidak Benar sudah semestinya penting bagi PAS kerana prinsip PAS sendiri menolak berita palsu dan fitnah yang berleluasa dalam masyarakat, apatah lagi PAS seringkali menjadi mangsanya,” ujar ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.

Terdahulu, kesemua 11 anggota Parlimen PAS yang hadir mengundi menyokong RUU tersebut ketika dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said pada 3 April 2018 yang diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran dan diluluskan dengan suara majoriti setelah dibahaskan oleh 17 senator.

RUU Antiberita Tidak Benar ini bertujuan bagi menangani masalah penyebaran berita tidak benar dalam perkembangan teknologi moden, bukan sama sekali untuk menyekat kebebasan bersuara seperti yang cuba diapi-apikan oleh pihak yang berkenaan.

Agong Perkenan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 Diwartakan

Malah menurut Nasrudin Hassan, PAS lebih awal memperkenalkan amalan berpolitik berasaskan fakta, berprinsip, menjauhi persengketaan termasuk berita palsu melalui prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Jadi, ia sudah semestinya bertepatan dengan BPMS yang sedang kami dokong ketika ini,” katanya.

Ditanya kenapakah Pakatan Harapan yang suka mendabik dada bahawa mereka akan menang dan menubuhkan kerajaan selepas PRU14 suka menuduh bahawa RUU ini adalah untuk selamatkan BN, beliau menegaskan bahawa persoalan ini berbalik kepada si pelaksana undang-undang, bukan kepada RUU itu sendiri.

Ketua Penerangan PAS itu menegaskan, sesiapa pun yang memerintah tetapi tidak ada prinsip mahupun pegangan berpolitik, maka kesemuanya akan rosak.

Menurut Nasrudin, di sinilah PAS hadir menawarkan konsep dosa pahala, hubungan kepada Allah sebagai pendinding untuk melaksanakan tanggungjawab pemerintahan dengan jujur dan tidak sewenangnya menggunakan kuasa.

“Ia telah dibuktikan melalui kejayaan kerajaan Negeri Kelantan yang diiktiraf sebagai bersih dan bebas rasuah,” katanya.

Apa Yang Terkandung Dalam Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803)

Persoalannya, kenapakah agaknya rata-rata blok Pakatan Harapan kelihatan seperti tidak suka dengan RUU Antiberita Tidak Benar, beliau menjawab, “Sebagai mudah cerita, mereka yang merasakan mereka mempunyai masalah dengan berita palsu dan fitnah pasti tidak akan merasa senang dengan RUU ini.”

“Tambahan pula, jika isu-isu yang mereka hujahkan selama ini adalah benar, saya fikir merekalah sepatutnya menjadi golongan paling kuat menyokong RUU ini, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Tegas Nasrudin lagi, “Dalam politik Islam, apa yang kita perlu nilai adalah Islam, malangnya sesetengah muslim lebih banyak berpolitik tanpa arah tuju, berasaskan sentimen tertentu berbanding melihat Islam itu sendiri.”

“Ini hakikat yang kita perlu terima, jadi tidak pelik jika ada muslim yang gagal menanggapi perkara ini secara tuntas,” katanya.

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan mulai 11 April 2018 susulan perkenan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.