Terkini: Najib Umum Parlimen Bubar Berkuat Kuasa 7 April 2018

Terkini: Najib Umum Parlimen Bubar Berkuat Kuasa 7 April 2018

Selepas pelbagai teka-teki dan desas-desus, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 7 April bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Perkara itu diumumkan beliau dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen saluran RTM1 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Najib berkata, pembubaran Parlimen itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, hari ini.

“Saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen ke-13 dibubarkan berkuat kuasa pada hari Sabtu 7 April 2018,” kata Najib, hari ini.

Turut menyertai Najib ketika membuat pengumuman tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan anggota jemaah menteri.

Najib juga menasihatkan ketua-ketua kerajaan negeri, untuk menghadap ketua-ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum Parlimen dan DUN dapat diadakan secara serentak.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan pilihan raya umum  kali ini berjalan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar.

Terdahulu, media melaporkan Najib hadir ke Istana Negara pagi tadi untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan membubarkan Parlimen.

Beliau kemudian tiba kira-kira jam 8.40 pagi di pejabatnya di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir penggal ini.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung, dan mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Najib mengakhiri ucapan khas beliau dengan memberi mesej penuh makna kepada rakyat berbunyi: “Negara Malaysia namamu kini megahlah sudah. Dibina dan dibangun berbekalkan keringat dan air mata, kerajaan Barisan Nasional (BN) berusaha sudah, berbakti pun sudah, kepada rakyat, pilihlah yang berhak dan telah berjasa.”

Dalam perkembangan lain, BN dijangka membuat pengumuman manisfesto PRU-14 secara besar-besaran di Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 8.30 malam, esok (7 April).

Pelancaran manifesto BN boleh diikuti secara langsung di televisyen, laman sosial Facebook, Twitter dan YouTube Najib Razak, Barisan Nasional dan Facebook 1Malaysia.